Feb 08

Kelas Penyusuan Susu Ibu

Assalamualaikum..

Alhamdulillah… Sabtu lepas berkesempatan hadir ke kelas penyusuan susu ibu yang dianjurkan oleh susuibu.com di Seri Kembangan. Kelas start pukul 9.30 pagi. Ada 2 perempuan mengandung dan 2 couple(termasuk saya). so total up ada 6 orang je. Tapi lagi senang nak tanya. kelas yang patutnya abis jam 12.30, habis jam 1 lebih sebab banyak betul benda yang ditanya dan dibincangkan.

Sangat seronok kelas ni. Lebih-lebih lagi dengan gaya Pn Rita yang sangat bersemangat. Hubby pun kata tak boring dan dia kata banyak benda baru yang dia tau. Alhamdulillah…boleh la dia support kalau ada masalah nanti.

Antara benda menarik yang nak share sket adalah bila Pn Rita cerita macam mana proses susu formula dibuat. Awalnya Pn Rita bercerita tentang struktur penghadaman manusia dan haiwan. Mestilah berbeza kan. Jadi susu lembu dah custom made untuk anak dia, susu ibu pun begitu. Antara seorang ibu dengan ibu yang lain pun kandungan detailsnya ada sedikit berbeza sebab dah di’custom made’kan untuk baby dia sendiri. Dah tentulah Allah tahu yang terbaik sebab dia yang menciptakan kita kan. Untuk bayi kita yang terbaik adalah

  1. susu ibu dari ibu kandung
  2. susu simpan(EBM) dari ibu kandung
  3. susu dari ibu susuan(ibu lain)
  4. formula milk

memang formula milk tu tak boleh nak dibandingkan dari segi khasiat dan kesesuaian berbanding susu ibu. tapi tak bermaksud tak boleh bagi but as a last option. kalau yang tiga2 sebelum tu memang dah takde. dalam apa jua pun mestilah kita nak yang terbaik kan dan kita akan berusaha ke arah itu. So same case as this one. Cuba sedaya upaya yang boleh sebelum pergi ke option seterusnya.

Ops, lupa pulak. ingat nak cerita proses buat susu formula tadi. Pn Rita kata dari maklumat dan research yang dia dapat ada dua cara untuk dapatkan susu lembu dengan hasil yang banyak. Satu dengan mengasingkan ibu lembu dan anaknya dan dipasangkan audio bunyi anaknya menangis untuk merangsang pengeluaran susu lembu. Kesian dia. Dah la dipisahkan dengan anaknya, manusia sesuka hati mengambil sepenuh-penuh hak anaknya dan tak diberikan langsung. Memang Allah jadikan susu haiwan salah satunya untuk minuman manusia juga tapi janganlah sampai menidakkan hak anaknya.

Satu lagi cara dengan cucuk hormon. Jadi br*ast lembu akan jadi bengkak dan sakit. Wallahu’alam. saya belum pernah mengalami bengkak susu tapi dari forum dan pembacaan, sangatlah sakit bila bengkak susu ni berlaku. so bayangkanlah benda yang sama pada lembu.

Banyak lagi khasiat, kepentingan dan lain-lain yang diceritakan tapi rasanya kalau nak cerita kat sini tak habis semuanya. Lebih penting bila dengar gaya penyampai yang penuh semangat secara tak langsung kita pun jadi semangat. Tak sama dengan membaca walaupun dah banyak sangat baca sampai kadang-kadang rasa dah tepu otak. Bila la nak applikasikan ni.

Sebelum ni ada yang kata bila dah 6-7 bulan ada sedikit colostrum keluar. Ada la juga try urut tapi takde apa pun. Rupanya cara urut tak betul. Balik kelas try buat, eh ada keluar sikit. Alhamdulillah. Moga baby boleh menyusu tanpa masalah.

Terima kasih Pn Rita dan Dr Ning yang banyak beri tips dan semangat. Memang tak rasa rugi langsung pergi kelas tu.

Bersama Pn Rita Rahayu(kiri), Dr Ning(kanan) dan dummy baby. (Do I look pregnant?)

Tengok lagi 3 orang semua perut besar macam dah sarat sangat je. Terasa macam keciknya lagi perutku. Baru 7 bulan. Lagi pula bila ditutup dengan tudung, lagi la tak nampak macam mengandung. Semalam ada jumpa junior yang baru jumpa. Dia kata,”Akak ni nampak macam dah kawin la.” Hehehe. Memang dah kawen pun dik oii. Bila cakap due akhir bulan 4 dan angkat sket tudung baru dia kata eh, dah besar perut. big grin

Dapat free babybook ni...

Habis kelas tu kami singgah kedai susu ibu di tingkat bawah sempat membeli botol kecil untuk simpan EBM nanti. Kemudian kami ke FobulousMom pula sebab ada flea market. Ada banyak barang secondhand dan baru yang elok-elok. Sempat beli 2 baju baby dan 2 set baju baby untuk bagi hadiah pada kawan-kawan yang bakal melahirkan juga. Dan sempat juga beli 3 nursing bra sebab semua barangan di fobulousmom ada 15% sale. big grin

Nov 04

Tips banyakkan susu

Assalamualaikum…

Bila baca-baca kat susuibu.com, risau juga bila ramai yang mengalami masalah menyusukan baby. Ada mommies yang dah buat preparation sejak mengandung. InsyaAllah nak cuba juga cara-cara ni. Moga Allah permudahkan urusan penyusuan bayi. Kalau boleh memang nak breastfeed baby 100%. Dah memang tak terfikir langsung nak beli formula milk(FM) tapi risau juga kalau tiba-tiba susu takde tapi takde preparation langsung sebagai back-up. Apa-apa pun, insyaAllah, kita cuba dulu cara di bawah :

  1. Paling penting iaitu mind-set. Always think positive to breastfeed baby.
  2. Niat dari awal untuk breastfeed 100%
  3. Minum air barli, longan kering, soya dan air zam-zam
  4. Bersihkan n*pple dgn air suam
  5. urut B utk stimulate
  6. urut daripada bahu kita sampai la ke B sebab urat2 yg mengeluarkan susu ada kat situ
  7. urut2 n cuci2 B ngan minyak baby
  8. urut2 b n cuci2 b ngan minyak bb
  9. bacalah ‘ya matin’ 70kali(al-matin ialah nama ALLAH dlm asmaul husna), dan tiup pada segelas air kosong dan minum air tu
  10. banyakan baca surah al-hujurat
  11. menyusukan newborn baby 1 hour after deliver

InsyaAllah kalau jumpa lagi akan tambah lagi. Terima kasih untuk sahabat-sahabat di susuibu.com. Banyak ilmu tentang susu ibu ni dapat. Tak lupa kredit for my friend yang mula memperkenalkan saya tentang ilmu dan semangat untuk beri susu ibu ni secara tak langsung. start berazam nak BF baby bila start baca blog dia walaupun masa tu tak kawen lagi. tongue

Benda-benda di atas tu apa yang boleh dibuat dalam tempoh mengandung. Untuk lepas bersalin pun ada macam-macam juga. nanti lepas bersalin bila saya try baru saya beritahu ye.

Oct 02

Penyusuan awal bayi

Kolostrum

Kolostrum ialah cecair berwarna kuning yang terhasil pada 10 hari terawal selepas kelahiran. Walaupun kuantitinya sedikit berbanding dengan penghasilan susu biasa, ia sangat kaya dengan protein dan antibodi yang mencukupi untuk keperluan awal bayi.

Menyusu seawal mungkin

Menyusukan bayi anda sebaik sahaja bersalin memberikan beberapa faedah:

* Masalah ‘bengkak susu’ atau buah dada membengkak di awal tempoh bersalin dapat dikurangkan atau dielakkan.

* Pemberian kolostrum yang mempunyai kesan ‘laxative’ akan menyingkirkan bilirubin melalui najis bayi. Ini akan mengurangkan risiko penyakit kuning atau ‘jaundice’.

* Reflek penghisapan oleh bayi yang kebiasaannya kuat selepas 20-30 minit kelahiran akan melatih bayi untuk menghisap susu dengan lebih baik.

* Bayi akan membina sistem imunisasi di peringkat awal.

* Membentuk hubungan yang erat antara ibu dan bayi.

Menyusu sekerap mungkin

Penyusuan bayi anda tidak tertakluk kepada masa atau pun jadual. Cara yang paling baik untuk menyusu bayi anda ialah dengan mengikut KEPERLUAN. Apabila bayi anda menunjukkan tanda-tanda ingin menyusu seperti menyuakan mulutnya ke dada anda atau menangis, anda tahu bahawa di situ ada KEPERLUAN untuk menyusu.

Saiz perut bayi yang baru lahir tidak melebihi sebiji telur ayam. Jadi, walaupun anda mempunyai bekalan susu yang banyak, jangan mengharapkan bayi untuk minum susu dalam kuantiti yang banyak dan kemudian tidur dalam jangka masa yang panjang. Berikan susu dada anda apabila bayi menangis atau menunjukkan respon hendak menghisap. Jangka masa yang sesuai ialah dalam julat 30 minit sehingga 2 jam sekali.

TIPS: Jangan tunggu sehingga bayi menangis untuk menyusukannya. Bayi yang menangis ialah bayi yang sedang “marah” dan dia mungkin terburu-buru untuk menyusu kerana terlalu lapar. Jika bayi anda dalam keadaan yang tenang, guna jari anda untuk menyentuh pipinya. Jika bayi anda membuka mulutnya untuk mendapatkan jari anda, sahlah dia lapar!

Kapasiti perut bayi baru lahir = 20 ml = 4 sudu kecil

Kapasiti perut bayi 12 bulan = 200 ml = 40 sudu kecil

Keciknya perut baby. Kesian untuk ibu yang merasakan susunya tak cukup untuk baby. Harap-harap dipermudahkan urusan untuk menyusukan bayi nanti. :|

sumber : http://comelnya.com/menyusu/panduan-menyusu-1

Oct 01

Info bayi dan susu ibu

Keadaan yang akan terjadi kepada anda(ibu), bayi anda dan susu anda pada minggu-minggu terawal selepas kelahiran.

Keadaan ibu dan susu

* Kelahiran – Susu anda berwarna kuning atau keemasan. Jumlahnya mungkin sedikit tetapi mencukupi buat bayi anda untuk memberikan perlindungan terhadap penyakit. Anda akan berasa letih tetapi seronok atas kehadiran ‘orang baru’. Masa yang sangat sesuai untuk memulakan penyusuan.

* 12-24 jam selepas kelahiran – Bayi anda akan minum lebih kurang 1 sudu kecil susu anda setiap kali menyusu. Jumlahnya mencukupi untuk keperluan bayi anda. Pastikan rehat mencukupi dan eratkan hubungan anda dan bayi. Payudara mungkin terasa lembut sedikit. Jika proses penyusuan menyakitkan, dapatkan bantuan daripada individu yang pernah membantu ibu-ibu menyusu. Penyusuan bayi tidak sepatutnya menyakitkan.

* Hari ke 2-5 selepas kelahiran – Susu matang anda akan terbentuk. Warnanya seakan putih kebiru-biruan dan mungkin akan kelihatan kuning keemasan sedikit selama 2 minggu. Payudara anda akan terasa penuh dan mungkin keluar meleleh. Anda boleh menggunakan pad pakai buang atau yang boleh dibasuh di dalam baju dalam anda untuk menyerap lelehan susu. Jika payudara bengkak dan keras, keluarkan sedikit susu sebelum menyusu bayi anda. Dalam tempoh senggang masa penyusuan, gunakan ais untuk mengurangkan bengkak yang biasanya hilang dalam 1-2 hari. Penyusuan bayi akan membantu menghilangkan bengkak.

* Minggu 4-6 selepas kelahiran – Susu anda akan beransur-ansur kelihatan putih kebiruan pada permulaan penyusuan dan krim putih menjelang akhir penyusuan. Warnanya mungkin akan berubah sedikit dari hari ke hari bergantung pada apa yang anda makan, tetapi ia tidak akan memudaratkan bayi. Badan anda sudah teradaptasi dengan proses penyusuan. Payudara menjadi semakin lembut dan lelehan susu akan berkurangan. Jangan risau kerana anda masih mempunyai susu.

Keadaan bayi

* Kelahiran – Bayi anda kebiasaannya dalam keadaan sedar dan peka dalam 1 jam pertama selepas kelahiran. Merupakan masa yang terbaik bagi bayi untuk mula menyusu.

* 12-24 jam selepas kelahiran – Apabila bayi anda sedar dari tidur, dia akan mempunyai keinginan yang kuat untuk menghisap dan menyusu. Sesetengah bayi mungkin akan tidur dalam jangka masa yang panjang. Keadaan ini normal kerana proses bersalin memberikan tekanan kepada bayi dan meletihkannya. Bayi anda mungkin terlalu mengantuk untuk menyusu dengan baik di peringkat ini. Penyusuan mungkin singkat dan masanya tidak menentu. Namun begitu, bayi akan menyukai rasa susu anda. Bayi anda mungkin akan menyusu, terlelap, menyusu lagi dan kemudian tertidur. Pastikan bayi anda tidak menerima air atau susu formula kecuali diperlukan untuk keperluan perubatan.

* Hari ke 2-5 selepas kelahiran – Bayi anda akan menyusu dengan kerap dalam julat 8-12 kali setiap 24 jam. Penyusuan yang kerap adalah normal kerana perut bayi anda yang kecil. Kebiasaannya, bayi yang menyusu tiada jadual yang tetap dan mengikut keperluannya. Penyusuan setiap 1-2 jam sekali adalah normal. Tempoh masa penyusuan sebelah payudara adalah 15-20 minit bergantung kepada bayi anda. Bayi anda munkin akan menyusu di payudara secara bergilir atau mungkin hanya menyukai sebelah sahaja. Selepas kelahiran, adalah normal untuk berat bayi menyusut sedikit. Berat bayi anda akan bertambah selepas 10-14 hari umurnya.

* Minggu 4-6 selepas kelahiran – Penyusuan lebih sekejap dan jarak masanya lebih jauh. Bayi yang menyusu badan akan kerap menyusu kerana merasa selesa dan selamat apabila dia rapat dengan anda. Bayi anda akan semakin mahir menyusu dan perutnya telah membesar untuk menampung susu yang diminum.

sumber : http://comelnya.com/menyusu/panduan-menyusu-2

Sep 16

Sakit dan terus sakit

Assalamualaikum..

Teringat kata-kata seorang sahabat a.k.a akak yang kata bila seorang perempuan tu mengandung bersedialah untuk sakit dan terus sakit. Sakit mengandung, sakit bersalin, sakit menjaga anak-anak masa kecil, bila besar sakit bila anak menyakitkan hati pula.

Patutlah Rasulullah suruh mengutamakan ibu 3 kali sebelum ayah. Patutlah orang kata syurga di bawah tapak kaki ibu. Tabahnya seorang ibu. Dan kalau seorang ibu tu menjaga dan mendidik dengan seikhlas hati bertambah pula lagi ganjaran yang diterima. Subhanallah. Penyayangnya Allah ni.

Bila dah mengandung dan alami morning sickness ni baru terasa bukan mudah nak jadi seorang ibu ni. Dari anak-anak belum lahir lagi macam-macam yang perlu difikirkan. Tak hairanlah datuk Imam Syafie kata dia telah menyediakan ibu imam syafie selama 40tahun untuk mendapatkan cucu seperti imam syafie. Jadi, sebelum nak dapat anak-anak yang soleh solehah mak ayah kena berusaha jadi soleh solehah dulu la kan.

Soal penjagaan diri, pemilihan pasangan, proses suami isteri, proses mengandung, melahirkan dan mendidik semuanya faktor yang perlu diambil kira untuk mendapatkan seorang anak yang soleh. Harapnya belum terlambat untuk diri ini dan suami memperbaiki diri. Sangat teruja dengan blog ini yang memotivasikan diri untuk menyusukan anak sendiri sepenuhnya. Sebelum ni tak pernah terfikir pun nak berbuat demikian. Selepas menemui blog ini, alhamdulillah, banyak yang saya belajar tentang susu ibu. Terima kasih kepada pemilik blog.

Lagi satu blog yang memotivasikan diri adalah blog ini. Blog ni banyak membantu saya berfikir dan belajar cara untuk mendidik anak nanti. Oh, sebelum terlupa. Di bawah ni adalah gambar yang dijanjikan. Tak nampak sangat pun sebab kecik sangat. Yang bertanda dari + hingga + itu adalah baby saya. Sangat terharu bila dapat nampak ada sesuatu dalam perut. Semoga Allah menjadikan saya insan yang bersyukur dan dekat denganNya.

baby 5 weeks

5 weeks