Jan 11

Sekolah rendah integrasi vs sekolah kerajaan

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, dah beberapa hari sesi persekolah tahun 2017 bermula. Muadz pun dah mula sekolah. Awalnya kami berkira-kira juga sama ada nak masukkan dia ke sekolah integrasi atau sekolah kerajaan biasa. Akhirnya setelah berbincang kami memilih sekolah rendah integrasi al-furqan.

Antara sebabnya :

  1. Tak perlu ke transit untuk tukar baju dan makan. Makan disediakan di sekolah integrasi.
  2. Tak perlu bayar van banyak kali untuk ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama.
  3. Silibus sekolah kebangsaan dan agama diajar sekali dalam sesi persekolahan.
  4. Sekolah al-furqan menggunakan silibus musleh walaupun bukan sekolah rangkaian musleh dan kami tertarik dengan silibus musleh yang kian meluas ni.
  5. Petang habis awal, selepas tu ada bersambung kelas mengaji tambahan jika mahu. Tak perlu nak keluar mengaji di malam hari.

Bagi kami, yang utama anak terdidik dengan akhlak yang baik dan iman yang benar. Nak didik sendiri kadang tak berapa nak pandai. Jadi harapnya, dengan persekitaran sekolah yang baik dan pendidikan yang baik membantu membentuk anak-anak kami. Cuma bayaran bulanan memang agak mahal sedikit. Yelah campur sekali makan tengah hari yang disediakan. Di Sekolah Rendah Integrasi Al-Furqan ni makanan rehat waktu pagi pun disediakan. Jadi tak perlu bagi duit belanja pun takpe. Dan memang kantinnya tak menjual makanan luar kecuali waktu petang. Lepas habis sesi persekolahan, jika lapar boleh la beli roti yang ada dijual.

Balut buku sekolah

Balut buku sekolah

Tapi ada juga sekolah integrasi yang beri makan hanya waktu tengah hari. Dan masa rehat pagi, murid perlu membeli di kantin atau membawa bekal seperti di sekolah biasa. Alhamdulillah juga sekolah Muadz dah sediakan makanan rehat. Ummi yang tak berapa rajin ni tak perlu nak sediakan bekal. Tapi, pagi sebelum ke sekolah ummi sediakan juga makanan untuk Muadz alas perut.

Lebih menarik silibus musleh ni bukan untuk anak sahaja tapi perlukan juga kerjasama ibu ayah. Yelah, nak didik anak bukan harapkan sekolah sahaja, ibu ayah berperanan penting dalam pendidikan anak-anak. Jadi, harapnya serba sedikit dapat la membantu kami berubah ke arah yang lebih baik juga. Sebelum masuk sekolah selain ada ujian untuk anak, ada juga sesi interview untuk ibu bapa. Masa tu diterangkan tentang sistem musleh tersebut.

Bagi kami, kami rasa ini pilihan terbaik kami buat masa ini. Lagipun buat masa ni sekolah kebangsaan yang terdekat pun masih belum ada. Paling dekat berhampiran dengan sekolah al-furqan ni juga.