Apr 02

Set Bersalin NR

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, semalam dah dapat pun Set bersalin NR yang diorder dari MamaDamia. Memang sangat efficient. Saya buat order melalui web, esoknya terus barang dah sampai. Saya ingatkan akan dihubungi melalui email. Alhamdulillah, dapat barangan seperti yang ditempah.

Boleh je nak beli kat kedai tapi saya memang dah lama simpan nak beli kat sini. Sebabnya? boleh dapat bengkung sekali dan juga ‘Cara rawatan semasa berpantang bersalin’ dan ‘Resepi-resepi makanan ketika pantang bersalin’. Rupanya buku yang memuatkan dua tajuk di atas tu buku nipis sahaja. Resipinya pun taklah banyak sangat tapi boleh la dijadikan panduan. Sebelum ni ada dapat barut baby percuma tapi mungkin tawaran dah berakhir.
Continue reading

Dec 23

Survey

Assalamualaikum…

Sepanjang mengandung ni macam-macam yang saya survey. Yelah, first time nak menjadi seorang ibu. Banyak benda yang nak kena belajar. Dulu sibuk survey macam mana nak BF baby. Pastu macam mana nak pump pula. Then, survey harga pump dan pump yang bagus. Then, survey amalan masa mengandung. Then, survey cara didik anak. Then, survey barangan baby. Maternity wears. Then, survey persiapan baby yang diperlukan. Set bersalin pun dah survey juga. Sekarang ni pula sibuk survey diapers. rolling eyes

Tapi setakat ni yang dah invest Breastpump aje. Hubby pun sampai dah penat asyik pegi kedai barangan baby tapi tak beli pun. Nak beli sekarang macam cepat sangat je. Try tanya-tanya kak long ada lagi barang dia yang elok. Maybe pinjam dia punya barang sikit. Hubby kata ‘penat je survey harga. Last-last amik kak long punya.’ tongue

Pening juga banyak benda nak survey tapi dalam survey tu alhamdulillah banyak ilmu yang dapat. InsyaAllah nak try bagi baby pakai Cloth Diapers tapi hubby macam tak berapa setuju. Sebab baju kami berdua pun kadang-kadang tak sempat nak basuh (banyak tanggungjawab lebih penting yang memerlukan perhatian dont tell anyone Bukan sebab malas ye). Nak tambah lagi benda yang kena penjagaan rapi lagi la susah. hehehe.

Oh, sekarang tengah survey juga babysitter atau daycare yang berdekatan. Kadang-kadang bila baca berita rasa takut je nak hantar baby. Rasa macam nak jaga sendiri je. Tapi kemalangan kat mana-mana pun boleh berlaku. Cuma kita kena juga la berhati-hati. InsyaAllah, bila kita dah usaha dan letakkan sepenuh pengharapan pada Allah, Allah akan jaga keluarga kita. Impian memang nak jadi housewife tapi risau juga kalau jadi housewife nanti makin malas. Dan amalan pun makin kurang.

Manusia ni kadang-kadang bila diberi masa yang banyak dia lupa. Tapi bila kita terkejar-kejar masa tu la fikir bestnya kalau ada masa lebih, boleh buat macam-macam. Hubby pun kata ekonomi family tak stabil lagi untuk dia support sorang-sorang. So insyaAllah akan cuba sebaik yang boleh. Teringat mak kata, dia kerja sampai sekarang alhamdulillah anak dia 6 orang jadi manusia. Bukan kerja atau tidak tu yang penting tapi pergantungan kita pada Allah.

Yang penting kita tau apa yang terbaik buat kita dan keluarga dan kita dah usaha sebaik yang boleh. Semalam ada terbaca dalam satu forum ada seorang ni tulis ‘Ibu bekerja punca anak derhaka’. Amboi..amboi..ikut sedap mulut je. angry lepas tu memang kena la dengan mommies yang ada dalam tu. Saya tak masuk campur. sekadar baca. happy

Ops..macam keluar topik je. Ok, back to the topic. Dalam banyak-banyak benda yang disurvey tu ada beberapa yang dah take note untuk beli. Maybe tunggu bulan 1 atau 2 nanti kot. Sekarang ni banyak end year sale tapi macam awal sangat je nak membeli. Semoga dipermudahkan segala urusan…

Dec 17

Tips kebahagiaan rumahtangga

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, semalam dapat berjumpa seorang yang memang banyak membantu diri ini. Beliau juga adalah salah seorang idola saya. Semalam beliau sempat memberikan tips kebahagiaan rumahtangga, cara bagaimana untuk kita membentuk keluarga seperti yang diharapkan. Ilmu tak baik simpan sorang-sorang kan. Jom kita share sama.

  1. Mulakan hari dengan bacaan ayat Quran. Lepas solat subuh tu kalau boleh baca sikit Al-Quran. At least satu muka pun takpe. Kalau yang sedang mengandung usap-usap perut dan kejut baby, bagi baby dengar sekali. Semoga bila dia besar nanti dia amalkan juga. Oh, bukan berhenti setakat baca, cuba baca maknanya sekali dan perhatikan apakah perintah Allah yang masih belum kita buat dan larangan Allah yang masih kita buat. InsyaAllah kita cuba perbaiki diri dengan buat sedikit demi sedikit.
  2. Banyakkan berwudhu. Kalau boleh sentiasa ada dalam keadaan wudhu. (Mak dulu pun selalu pesan. Selalu amik wudhu. Tapi kadang-kadang bila ingat je buat. tongue ) Sebab dengan berwudhu tu boleh menghilangkan dosa-dosa kecil. So lagi banyak kali kita berwudhu lagi banyak la dosa yang gugur. Sambil wudhu tu, doa sekali semoga diampunkan dosa.
  3. Sebelum tidur amalkan buat solat taubat 2 rakaat disamping mengampunkan kesalahan semua orang sama ada yang kita sedar atau tidak. Sebelum tidur cuba bersihkan diri dari sebarang dosa dengan buat solat sunat taubat. Selain tu, maafkan juga kesalahan orang lain yang kita tahu atau tidak untuk mempercepatkan kita dihitung di akhirat kelak. sebab kalau ada orang buat dosa dengan kita yang kita tak maafkan, di akhirat nanti orang tu akan datang dan minta maaf pada kita. makin ramai orang yang kita tak maafkan makin berderet la orang datang.
  4. Sebelum tidur niatkan dalam hati dan bayangkan macam mana keluarga yang kita impikan. Anak-anak yang bagaimana, pasangan yang bagaimana. Pasang niat untuk bentuk keluarga seperti yang diimpikan. Bila hari-hari kita bayangkan, insyaAllah keazaman kita untuk ke arah itu akan lebih tinggi. Contoh, kita bayangkan kita didik anak sebelum tidur gosok gigi dan berwudhu, salam mak ayah, baca doa tidur baru tidur.
  5. Amalkan solat dhuha. Solat dhuha ni banyak kebaikannya. Pernah dengar solat dhuha 2 rakaat sama dengan satu malam qiamullail. Tapi tak sure source dia. nanti la cari balik betul ke tak benda tu. Tapi yang penting kita cuba buat. kalau tak boleh buat masa kerja, cuba buat masa weekend.
  6. Amalkan qiamullail. Masa ni la kita nak berkhalwat dengan Allah. Nak ngadu sungguh-sungguh, nak minta sungguh-sungguh. Takde orang pun akan kacau, dan kita pun tak disibukkan dengan benda dunia. Kadang-kadang kita dah bangun pun, pegi toilet ke menyusu anak ke..tapi tak gunakan masa tu untuk at least solat sunat 2 rakaat.
  7. Selalu bercakap dengan anak dalam kandungan bagi yang sedang mengandung. Nyatakan harapan kita pada dia, beritahu dia bila kita solat atau ada dengar ceramah, suruh dia join sekali dan jangan kacau ummi. Kira kita didik dia sejak dari dalam perut la.

Sebenarnya yang paling penting cuba didik diri kita dulu. Kalau kita jenis tak boleh tinggal tv, anak nangis/panggil pun dok mengadap je tv liat nak gerak, takkan expect anak kita nanti bila panggil terus tinggal tv, sure dia pun liat dok mengadap tv je. Before we change others, change ourselves first. kalau nak suami kita buat macam tu, kita buat macam tu dulu tapi bukan buat nak dia ikut. buat dengan ikhlas disamping disertai dengan doa dan kasih sayang.

Pernah juga baca kalau ada anak yang tak dengar kata masa dia tidur tu usap-usap kepala dia dan baca doa. kemudian bercakap dengan dia walaupun dia tengah tidur. Mula-mula beritahu kita sayang dia dan apa harapan kita pada dia.

“Assalamualaikum, anak ummi. Ummi sayang anak ummi ni. Tapi kalau anak ummi nakal ummi tak suka, Allah pun tak suka. Ummi harap anak ummi jadi anak yang baik, soleh dan dengar kata ye. Bila ummi cakap jangan melawan ye, nak ye.” Disamping tu jangan lupa doakan dia.

Bila dengar tips-tips rasa macam bestnya dapat anak yang baik, bestnya jadi ibu yang penyabar. Tapi bila lihat keadaan sebenar di depan mata, dengan anak buah dan adik saudara jadi risau pula. huhuhu. Mampu ke diri ini mendidik anak menjadi seorang yang soleh dan musleh. Seorang yang menegakkan al-haq. Sedang diri ini pun kadang-kala terumbang-ambing.

Teringat pesanan seorang kakak yang juga salah seorang idola saya, akak ni seorang doktor yang sekarang tengah sambung master(yang of course selain sibuk dengan kelas dan belajar, sibuk juga menjadi seorang doktor dan tugas2 on call), ada 3 orang anak nak masuk 4. kadang-kala sibuk pula dengan tugas-tugas luar dan anak-anak dijaga oleh bibik. Tapi anak-anaknya sangat rapat dengan dia dan mendengar kata. yang kakak menjaga adik. sangat sweet. Saya tanya bagaimana dia manage masa. Dia kata akak tak boleh jawab soalan tu, akak pun tak tau macam mana akak boleh bertahan sampai sekarang tapi yang penting hubungan kita dengan Allah tu kena kuat sebab semua benda Allah yang pegang. Hati kita, hati anak-anak kita semuanya dipegang oleh Allah. Even masa tu pun makhluk Allah, kalau Allah izinkan kadang-kadang kita boleh buat banyak benda dan pergi banyak tempat dalam satu hari sedangkan kalau fikir kadang-kadang rasa tak mampu pun sebenarnya nak buat. Jadi bergantung haraplah pada Allah. Kalau kita takde masa didik anak, Allah akan didik anak-anak kita bila kita sibuk tu adalah untuk mencari redha Allah.

Harap diri ini kekal teguh di jalan yang dipilih sehingga akhir hayat. Moga perjalanan mencari redha Allah tidak terhenti di tengah jalan akibat penat dan bosan. Bersyukur ditemukan dengan orang-orang yang hebat tika diri ini melemah. Terima kasih, Ya Allah. big hug p/s - sangat tak reti nak cakap dengan baby sorang-sorang. Biasa hubby je yang banyak cakap dengan baby. cakap dalam hati aci tak? hee hee tapi kata seseorang, kadang Allah suka mendengar suara kita walaupun dia tau apa yang kita doa dalam hati. same goes here, cuba luahkan dengan suara. i'll try my best. - tengah baca buku tarbiyatul aulad tapi tak terhabis-habis sebab tebal sangat bukunya. nak bawa gi office berat la pulak...

Nov 09

Baby sihat

Assalamualaikum..

Last friday, buat monthly check-up. alhamdulillah, baby sihat. dah boleh nampak jantung dia yang berdegup kencang. tangan dan kaki pun aktif bergerak-gerak. ntah apa la yang dia buat dalam perut tu agaknya. macam busy sesangat je.

Tak pasti doktor menggunakan sistem scan 2D, 3D atau 4D. tapi memang boleh nampak jelas tangan dan kaki baby dalam bentuk 3D. Alhamdulillah, overall baby sihat, cuma umminya je yang tak berapa sihat.

Doktor pun kata,”Berat ni naik sikit sangat ni. Tak lalu nak makan lagi ke?”. Yup, saya masih tak lalu nak makan. Sampai dah tak tau nak makan apa. Penat memikirkan makanan yang boleh masuk kat tekak. biasa kalau beli tu makan je, tapi dengan gaya yang sangatlah slow motion. pastu petang2 atau malam2 sket mula la mengeluarkan isi perut yang ada.

Jumaat malam tu lepas check-up, terus pulang ke rumah mertua dan keluar makan. adik ipar belanja satu family makan kat luar sebab baru dapat pinjaman. masa makan tu rasa macam selera. tapi on the way balik tu dah rasa makanan ni macam tak masuk kat perut je. cuba juga minum air masak. kot2 boleh tolak masuk. sampai je kat rumah abis keluar semua. sebiji2 rupa nasi. memang betul makanan tak masuk perut. At least sebelum ni dah takde rupa sangat. macam dah diproses juga la. kali ni macam tak proses langsung.

sepatutnya dah 3 bulan lebih beransur ok, tapi saya macam beransur kurang ok pula. orang lain makan makin banyak, saya makan makin sikit. Ingatkan dah boleh bau makanan yang dimasak, rupanya masih belum boleh. Kesian suamiku, dah lama tak rasa air tangan isteri.

Ya Allah, permudahkanlah urusan kami…

Sep 15

Hasil check-up

Assalamualaikum..

Semalam dah buat check-up sekali lagi di Pusat Rawatan Kohilal. Saje check sebab risau. Alhamdulillah, the baby is fine. Kecik sangat lagi takleh nak nampak apa. Kalau ikut mesin tu baby tu besar 5 minggu. Setakat ni doktor kata kalau puasa pun tak memudaratkan baby cuma takut maknya yang tak tahan.

Alhamdulillah, setakat ni ok lagi kalau sahur tu dan malam tu makan lebih sket. Biasa sebelum tidur akan cuba makan roti sket dan minum air coklat. Tapi bangun pagi untuk sahur mesti dah kelaparan dan perut mula berangain. Angin sangat la banyak melanda kebelakangan ni. Lately, dah takde muntah angin tapi muntah kosong. Memang beria gaya muntah tapi takde apa pun yang keluar. Lagi la sakit. At least lepas keluar angin lega sikit.

Doktor kata teruskan makan ubat gastrik, boleh neutralkan asid dalam perut. Ganbatte, sikit je lagi nak puasa. Tapi nanti kena ganti satu hari tu. Harap-harap dapat bertahan dengan jayanya.

Semalam sempat berbuka di rumah mertua. Memandangkan pusat rawatan tu memang dekat sangat (15 minit je) dari rumah mertua, jadi malam tadi tidur di sana. Sempat bantu mak buat 2 jenis biskut raya malam tadi. Biskut badam dan biskut tart. Malangnya biskut tart tu saya tak dapat tolong sampai habis sebab dah ‘pengsan’. Bak kata hubby sejak mengandung ni tengah mengaji pun boleh tidur sambil duduk. Tak sampai hati nak kejut. Tapi di rumah mertua takde la buat perangai tidur sambil menguli, siap-siap terus berangkat untuk tidur. Mak pun kata muka nampak penat. huhu.

Review sikit tentang Pusat Rawatan Kohilal ni. Alhamdulillah, semua doktor perempuan muslim. Rasa selamat sikit. Kata hubby bila masuk tu rasa ‘tenang’ je, saya tak perasan la pula. Mungkin sebab ada sedikit tension dengan doktor sebab bila cakap pasal symptom2 biasa tu dia kata, “Biasalah tu. Dah sendiri yang buat kan. Sendiri yang nak.” Memang la. Tapi kalau ye pun puan doktor cakap la elok-elok sikit. Saya ni dah ler baru first time mengandung.

Bila tanya nak next check-up pun dia macam tak berminat je. Dia kata baby kecik sangat lagi, tunggu la sebulan lagi ke. Tapi sib baik lepas tu dia bagi nasihat baik-baik. Agaknya just the hormon in me kot yang buat rasa cam tak best. Sebab hubby ok je. Siap dia bagi ambil gambar dalam scan tu pakai kamera sendiri.(Nak suruh print takut mahal plak. tunggu besar sket baru print). Tapi lupa nak bawa card reader, jadi tak dapat nak update gambar. Esok la ye.