Oct 02

Penyusuan awal bayi

Kolostrum

Kolostrum ialah cecair berwarna kuning yang terhasil pada 10 hari terawal selepas kelahiran. Walaupun kuantitinya sedikit berbanding dengan penghasilan susu biasa, ia sangat kaya dengan protein dan antibodi yang mencukupi untuk keperluan awal bayi.

Menyusu seawal mungkin

Menyusukan bayi anda sebaik sahaja bersalin memberikan beberapa faedah:

* Masalah ‘bengkak susu’ atau buah dada membengkak di awal tempoh bersalin dapat dikurangkan atau dielakkan.

* Pemberian kolostrum yang mempunyai kesan ‘laxative’ akan menyingkirkan bilirubin melalui najis bayi. Ini akan mengurangkan risiko penyakit kuning atau ‘jaundice’.

* Reflek penghisapan oleh bayi yang kebiasaannya kuat selepas 20-30 minit kelahiran akan melatih bayi untuk menghisap susu dengan lebih baik.

* Bayi akan membina sistem imunisasi di peringkat awal.

* Membentuk hubungan yang erat antara ibu dan bayi.

Menyusu sekerap mungkin

Penyusuan bayi anda tidak tertakluk kepada masa atau pun jadual. Cara yang paling baik untuk menyusu bayi anda ialah dengan mengikut KEPERLUAN. Apabila bayi anda menunjukkan tanda-tanda ingin menyusu seperti menyuakan mulutnya ke dada anda atau menangis, anda tahu bahawa di situ ada KEPERLUAN untuk menyusu.

Saiz perut bayi yang baru lahir tidak melebihi sebiji telur ayam. Jadi, walaupun anda mempunyai bekalan susu yang banyak, jangan mengharapkan bayi untuk minum susu dalam kuantiti yang banyak dan kemudian tidur dalam jangka masa yang panjang. Berikan susu dada anda apabila bayi menangis atau menunjukkan respon hendak menghisap. Jangka masa yang sesuai ialah dalam julat 30 minit sehingga 2 jam sekali.

TIPS: Jangan tunggu sehingga bayi menangis untuk menyusukannya. Bayi yang menangis ialah bayi yang sedang “marah” dan dia mungkin terburu-buru untuk menyusu kerana terlalu lapar. Jika bayi anda dalam keadaan yang tenang, guna jari anda untuk menyentuh pipinya. Jika bayi anda membuka mulutnya untuk mendapatkan jari anda, sahlah dia lapar!

Kapasiti perut bayi baru lahir = 20 ml = 4 sudu kecil

Kapasiti perut bayi 12 bulan = 200 ml = 40 sudu kecil

Keciknya perut baby. Kesian untuk ibu yang merasakan susunya tak cukup untuk baby. Harap-harap dipermudahkan urusan untuk menyusukan bayi nanti. :|

sumber : http://comelnya.com/menyusu/panduan-menyusu-1

Oct 01

Info bayi dan susu ibu

Keadaan yang akan terjadi kepada anda(ibu), bayi anda dan susu anda pada minggu-minggu terawal selepas kelahiran.

Keadaan ibu dan susu

* Kelahiran – Susu anda berwarna kuning atau keemasan. Jumlahnya mungkin sedikit tetapi mencukupi buat bayi anda untuk memberikan perlindungan terhadap penyakit. Anda akan berasa letih tetapi seronok atas kehadiran ‘orang baru’. Masa yang sangat sesuai untuk memulakan penyusuan.

* 12-24 jam selepas kelahiran – Bayi anda akan minum lebih kurang 1 sudu kecil susu anda setiap kali menyusu. Jumlahnya mencukupi untuk keperluan bayi anda. Pastikan rehat mencukupi dan eratkan hubungan anda dan bayi. Payudara mungkin terasa lembut sedikit. Jika proses penyusuan menyakitkan, dapatkan bantuan daripada individu yang pernah membantu ibu-ibu menyusu. Penyusuan bayi tidak sepatutnya menyakitkan.

* Hari ke 2-5 selepas kelahiran – Susu matang anda akan terbentuk. Warnanya seakan putih kebiru-biruan dan mungkin akan kelihatan kuning keemasan sedikit selama 2 minggu. Payudara anda akan terasa penuh dan mungkin keluar meleleh. Anda boleh menggunakan pad pakai buang atau yang boleh dibasuh di dalam baju dalam anda untuk menyerap lelehan susu. Jika payudara bengkak dan keras, keluarkan sedikit susu sebelum menyusu bayi anda. Dalam tempoh senggang masa penyusuan, gunakan ais untuk mengurangkan bengkak yang biasanya hilang dalam 1-2 hari. Penyusuan bayi akan membantu menghilangkan bengkak.

* Minggu 4-6 selepas kelahiran – Susu anda akan beransur-ansur kelihatan putih kebiruan pada permulaan penyusuan dan krim putih menjelang akhir penyusuan. Warnanya mungkin akan berubah sedikit dari hari ke hari bergantung pada apa yang anda makan, tetapi ia tidak akan memudaratkan bayi. Badan anda sudah teradaptasi dengan proses penyusuan. Payudara menjadi semakin lembut dan lelehan susu akan berkurangan. Jangan risau kerana anda masih mempunyai susu.

Keadaan bayi

* Kelahiran – Bayi anda kebiasaannya dalam keadaan sedar dan peka dalam 1 jam pertama selepas kelahiran. Merupakan masa yang terbaik bagi bayi untuk mula menyusu.

* 12-24 jam selepas kelahiran – Apabila bayi anda sedar dari tidur, dia akan mempunyai keinginan yang kuat untuk menghisap dan menyusu. Sesetengah bayi mungkin akan tidur dalam jangka masa yang panjang. Keadaan ini normal kerana proses bersalin memberikan tekanan kepada bayi dan meletihkannya. Bayi anda mungkin terlalu mengantuk untuk menyusu dengan baik di peringkat ini. Penyusuan mungkin singkat dan masanya tidak menentu. Namun begitu, bayi akan menyukai rasa susu anda. Bayi anda mungkin akan menyusu, terlelap, menyusu lagi dan kemudian tertidur. Pastikan bayi anda tidak menerima air atau susu formula kecuali diperlukan untuk keperluan perubatan.

* Hari ke 2-5 selepas kelahiran – Bayi anda akan menyusu dengan kerap dalam julat 8-12 kali setiap 24 jam. Penyusuan yang kerap adalah normal kerana perut bayi anda yang kecil. Kebiasaannya, bayi yang menyusu tiada jadual yang tetap dan mengikut keperluannya. Penyusuan setiap 1-2 jam sekali adalah normal. Tempoh masa penyusuan sebelah payudara adalah 15-20 minit bergantung kepada bayi anda. Bayi anda munkin akan menyusu di payudara secara bergilir atau mungkin hanya menyukai sebelah sahaja. Selepas kelahiran, adalah normal untuk berat bayi menyusut sedikit. Berat bayi anda akan bertambah selepas 10-14 hari umurnya.

* Minggu 4-6 selepas kelahiran – Penyusuan lebih sekejap dan jarak masanya lebih jauh. Bayi yang menyusu badan akan kerap menyusu kerana merasa selesa dan selamat apabila dia rapat dengan anda. Bayi anda akan semakin mahir menyusu dan perutnya telah membesar untuk menampung susu yang diminum.

sumber : http://comelnya.com/menyusu/panduan-menyusu-2

Sep 16

Sakit dan terus sakit

Assalamualaikum..

Teringat kata-kata seorang sahabat a.k.a akak yang kata bila seorang perempuan tu mengandung bersedialah untuk sakit dan terus sakit. Sakit mengandung, sakit bersalin, sakit menjaga anak-anak masa kecil, bila besar sakit bila anak menyakitkan hati pula.

Patutlah Rasulullah suruh mengutamakan ibu 3 kali sebelum ayah. Patutlah orang kata syurga di bawah tapak kaki ibu. Tabahnya seorang ibu. Dan kalau seorang ibu tu menjaga dan mendidik dengan seikhlas hati bertambah pula lagi ganjaran yang diterima. Subhanallah. Penyayangnya Allah ni.

Bila dah mengandung dan alami morning sickness ni baru terasa bukan mudah nak jadi seorang ibu ni. Dari anak-anak belum lahir lagi macam-macam yang perlu difikirkan. Tak hairanlah datuk Imam Syafie kata dia telah menyediakan ibu imam syafie selama 40tahun untuk mendapatkan cucu seperti imam syafie. Jadi, sebelum nak dapat anak-anak yang soleh solehah mak ayah kena berusaha jadi soleh solehah dulu la kan.

Soal penjagaan diri, pemilihan pasangan, proses suami isteri, proses mengandung, melahirkan dan mendidik semuanya faktor yang perlu diambil kira untuk mendapatkan seorang anak yang soleh. Harapnya belum terlambat untuk diri ini dan suami memperbaiki diri. Sangat teruja dengan blog ini yang memotivasikan diri untuk menyusukan anak sendiri sepenuhnya. Sebelum ni tak pernah terfikir pun nak berbuat demikian. Selepas menemui blog ini, alhamdulillah, banyak yang saya belajar tentang susu ibu. Terima kasih kepada pemilik blog.

Lagi satu blog yang memotivasikan diri adalah blog ini. Blog ni banyak membantu saya berfikir dan belajar cara untuk mendidik anak nanti. Oh, sebelum terlupa. Di bawah ni adalah gambar yang dijanjikan. Tak nampak sangat pun sebab kecik sangat. Yang bertanda dari + hingga + itu adalah baby saya. Sangat terharu bila dapat nampak ada sesuatu dalam perut. Semoga Allah menjadikan saya insan yang bersyukur dan dekat denganNya.

baby 5 weeks

5 weeks