suntikan imunisasi pertama

Assalamualaikum…

dah lama tak menulis di sini. maaflah kepada yang tertunggu-tunggu. (ada ke ye?) huhuhu.

InsyaAllah hari ni nak share suntikan imunisasi pertama untuk baby. Kalau untuk pemakanan, selepas bayi ditahnik, kolostrum ibu adalah makan terbaik yang mengandungi antibodi untuk baby. Tetapi selain itu, tahu tak azan yang dikumandangkan di telinga baby pun salah satu suntikan imunisasi yang paling hebat untuk bayi. Bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga rohani.

Info ni saya dapat dari majalah Fardu Ain Jilid 17.

Sebaik seorang bayi baru dilahirkan, tugas seorang bapa setelah anak itu dibersihkan adalah mengazankan anak itu di telinga kanan dan mengiqamatkan di telinga kiri. Dengan harapan anak itu mendapat suntikan ‘imunisasi pencegahan’ awal dengan kalimah tauhid. Apa yang ingin dicegah? Semestinya daripada membesarkan perkara lain melebihi Allah SWT.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar” dibisikkan di telinga bayi yang comel supaya dia mngerti bahawa yang lain semua kecil berbanding Allah SWT.

Kemudian diperkukuhkan dengan saksi “Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah”. Laungan ini mengingatkan agar Allah jualah yang Maha Agung untuk disembah, bukan dunia yang serba melalaikan.

Dimantapkan lagi dengan syahadah “Bahawa Muhammad itu pesuruh Allah”. Ucapan ini memperkenalkan bahawa ajaran Nabi Muhammad sahajalah yang benar. Justeru, apabila bayi itu dewasa, Nabi Muhammad mestilah betul-betul dikenali.

Meskipun bayi itu masih belum memahami, suntikan dos selanjutnya ialah mengajar agar bersolat. “Hayya ‘alas Solah” Solat bukan sekadar rutin harian tetapi lambang pengabdian kepada Allah. Bukan sekadar rekaan akal tetapi mestilah bersesuain dengan sabda Nabi SAW, ‘Bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat’.

Solat adalah tonggak Islam, mewakili ibadah terus kepada Tuhan. Solat adalah talian terus hamba dengan Allah. Lalu diikuti dengan seruan “Hayya ‘alal Falah”. Mari menuju kejayaan. Kejayaan (al-falah) bukanlah bermaksud kebendaan material semata-mata tetapi bermaksud kejayaan dunia dan akhirat yang lebih luas.

Setelah melekat peringatan itu, diperkuatkan lagi dengan memuji kebesaran Allah. “Alluhu Akbar – Allah Maha Besar”. Diakhiri dengan kalimah tauhid atau dinamakan juga kalimah tayyibah “La ilaha illallah”. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Bukan disembahnya berhala dan patung atau idola lain selain daripada apa yang diperintahkan.

Itulah yang dilakukan oleh Nabi SAW. Sabdanya,
“Mana-mana bayi yang diazankan ke telinga kanan dan diiqamatkan ke telinga kirinya tidak akan diganggu jin yang bergelak ‘Ummu al-Sibyan'” (Riwayat al-Baihaqi)

Tanpa imunisasi ini banyak makhluk yang akan menguasai anak Adam yang baru lahir, lebih-lebih lagi syaitan dan tidak ketinggalan nafsu manusia itu sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *