Surah al-Insyirah buat penenang

Assalamualaikum….

Sekarang ni ramai betul orang yang tak sihat. Kami sekeluarga sendiri mengalami batuk-batuk. Di pejabat pun ramai yang batuk dan selsema.

Jumaat lepas Muadz satu hari menangis di Taska sampai pihak Taska tak tahu nak buat apa. Muadz demam dan batuk, jadi mungkin dia rasa tak selesa. Dia tak mahu minum, makan dan juga tidur. Asyik merengek sahaja. Jadi, saya terpaksa balik awal untuk ambil dia.

Setiap kali lepas batuk dia akan menangis, kesian sangat. Saya tepuk-tepuk di belakang badannya untuk melonggarkan kahak-kahak dalam dada. Ini yang diajar oleh seorang doktor kepada kami. Lekukkan tangan bentuk C dan tepuk belakang badan bayi. Kadang-kala dia akan muntah dan keluarkan kahak yang tersekat. Bila muntah biasanya bayi akan lega sedikit.

Sabtu ahad yang lepas memang mencabar. Muadz asyik merengek sepanjang hari dan tak mahu dengan orang lain. Seorang sahabat memberi tips supaya membacakan surah al-Insyirah. Alhamdulillah, bukan sahaja menenangkan bayi tetapi juga orang yang menjaganya.

Walau bagaimanapun, ayat al-Quran ni bukanlah tangkal atau jampi, ia
perlu difahami maksudnya supaya lebih terkesan di hati. Jadi, mari kita
lihat maksud surah al-Insyirah.

1. (Wahai Muhammad) bukankah Kami telah lapangkan dadamu?
2. Dan Kami telah ringankan bebananmu.
3. Yang telah memberatkan belakangmu.
4. Dan Kami telah angkatkan namamu (di dunia dan di Akhirat).
5. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan.
6. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan.
7. Oleh itu apabila engkau telah selesai dari kegiatan-kegiatan hidupmu,
maka usahakanlah kegiatan yang lain pula.
8. Dan kepada Tuhanmu tumpukan perhatian dan minatmu.

Saya dukung Muadz, tepuk belakangnya sambil bisikkan surah ini ke
telinganya. Sambil baca, teringat ujian yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang lebih berat lagi. Sedangkan saya cuma diuji sedikit sahaja. Bila sampai ayat 5 & 6, saya berhenti sekejap, tarik nafas dan berdoa semoga saya diberi kekuatan menghadapi ujian ini. Bila Muadz tak mahu berhenti menangis saya ulang-ulang surah ini sambil berdoa.

Alhamdulillah, hati saya cukup tenang. Hilang rasa nak marah dengan kerenah anak. Hilang rasa risau melihat anak yang tak tenang. Muadz sendiri seperti faham perasaan ibunya dan terlentok manja.

Saya juga amalkan sentiasa beri pesanan sambil usap kepala bayi. Tak kira semasa menyusu, bermain atau tidur. Ahad malam saya bisikkan padanya bahawa esok dia akan ke taska, ummi terpaksa kerja. Please be a good boy. Esoknya 2-3 kali saya telefon taska kerana risau. Tetapi Alhamdulillah walaupun masih belum baik sepenuhnya, Muadz mahu minum susu. Semalam, Muadz bertambah baik & ceria. Dah boleh senyum dan bermain.
Syukur.

Harap tips ini boleh membantu ibu-ibu lain juga. Yang penting kebergantungan kepada Allah ya.

Share
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply