Tips cara kejutkan anak bangun pagi

Assalamualaikum…

Tahun depan anak sulungku Muadz dah nak masuk darjah 1. Benda yang paling risau adalah untuk kejut bangun pagi. Sekarang ni pun kadang-kadang agak liat untuk bangun pagi. Dah bangun kadang termenung dalam tandas. Si kakak Zilal pun sama, ditambah lagi dengan manjanya. Rasa dulu ada baca tips cara kejutkan anak bangun pagi. Tapi biasalah manusia cepat lupa. Jadi tulis semula di sini untuk ingatkan diri sendiri.

Tak seronok sebenarnya bila bangun-bangun nak marah-marah. Tapi kadang sebenarnya mak ayah yang terbangun lambat. Bila kelam-kabut tak pasal-pasal anak jadi tempat kena marah. Jadi, sebelum nak amalkan tips ni, penting untuk mak ayah sendiri bangun awal supaya lebih bertenang untuk kejut anak-anak.

# PERSEDIAN SEBELUM TIDUR

  • Seeloknya makan malam lebih awal supaya anak-anak boleh tidur lebih awal. Makan malam yang lewat dan berat sebelum waktu tidur boleh menggangu tidur dan membuatkan anak anda lebih susah untuk bangun di pagi hari.
  • Sesetengah pertarungan untuk bangun awal pagi adalah berpunca daripada tidur pada lewat malam. Hadkan penggunaan gadjet mahupun televisyen yang boleh melekakan anak-anak sehingga berjaga ke larut malam.
  • Siapkan juga kelengkapan untuk esok pagi seperti kerja sekolah, alatulis, pakaian sekolah, beg sekolah dan sebagainya dengan lebih awal. Bila semua sudah sedia, urusan pada waktu pagi insya Allah akan berjalan dengan lebih lancar.

Alhamdulillah, yang ini rasanya semua ok. Kecuali kelengkapan sekolah, kadang tak sempat nak siapkan malam-malam sebab si kecik dah meragam.

# TIDUR DENGAN BAHAGIA

  • Berikan motivasi sebelum tidur. Cetuskan keghairahan dengan cerita-cerita persekolahan yang menaikkan semangat mereka untuk seronok pergi ke sekolah. Beri dorongan dengan menjelaskan bahawa guru-guru dan kawan-kawan pasti tertunggu-tunggu kehadiran mereka di sekolah esoknya. Dan guru-guru suka siapa yang datang awal pagi ke kelas.
  • Sebelum tidur, pesanlah untuk mereka baca doa sebelum tidur beserta surah Al-Muawwizat (3 Qul).
  • Elakkan konflik sebelum tidur. Jika ada, selesaikan dengan segera. Pujuk anak dan terus bermaaf-maafan. Berikan pelukan dan ciuman pada si manja sebelum mereka tidur. Pastikan mereka tidur dalam keadaan gembira dan mencium tangan ibuayah terlebih dahulu sebelum mereka lena dibuai mimpi.
  • Ketika mereka dalam zon separa sedar (tidur-tidur ayam), selitkan juga doa ibuayah dan programkan minda si manja untuk mereka mudah bangun awal untuk ke sekolah.
  • Pastikan anak-anak tidur dalam suasana aman, jauh dari gangguan dan kebisingan. Jika memasang rakaman bacaan Al Quran semasa anak-anak tidur, minimakan kelantangan bunyinya.

# KEJUTKAN DENGAN KASIH-SAYANG

  • Beri salam kepada anak yang sedang tidur. Gunakan nada suara yang lembut, bukan suara yang tinggi seperti, “Assalamualaikum anak soleh. Bangun sayang, anak ibu ni suka bangun awal”.
  • Gerakkan mereka dengan sopan, bukan agresif. Sentuh hujung ibu jari kaki mereka dan goyangkan perlahan-perlahan. Jangan direntap ibu jari kaki mereka, kelak mereka menyimpan dendam.
  • Elakkan mengetuk pintu bilik mereka dengan keterlaluan sehingga menyebabkan anak bangun dalam keadaan terkejut dan ketakutan.
  • Kejut anak secara berperingkat. Jangan terus disimbah air ke atas mereka. Kejut, biarkan sekejap kemudian kejut sekali lagi. Jangan terlalu memaksa.
  • Panggil nama mereka dengan lembut dan teruskan menggoyang kakinya. Jika masih belum sedar, kuatkan sedikit suara dan goyang badannya.Teruskan memanggil namanya dan panggillah panggilan yang baik. Kejutkannya sambil memujinya : “Bangun sayang, anak umi yang baik, anak umi yang soleh, anak umi yang rajin. Anak ummi ni senang bangun. Ummi kejut, terus bangun.”
  • Sebaik saja anak bangun, terus berikan anak anda ganjaran ciuman dan pelukan supaya timbul rasa gembira pada diri mereka untuk bangun tidur. Usap kepalanya sambil bercakap dengan lembut agar si manja terus mandi, solat subuh dan bersegera ke sekolah untuk menjadi anak yang bijak pandai.
  • Berilah ganjaran dari sudut pujian dan galakan apabila si manja memberikan kerjasama yang baik untuk bangun tidur di awal pagi sebelum ke sekolah. Hargailah setiap perkembangan mereka, teruskan mendorong dan berdoa.

Dari sudut segi psikologi, jika seorang anak itu dikejut dengan herdikan atau pukulan, maka minda separa sedar akan diaktifkan sedikit demi sedikit untuk membenci dan berdendam dengan orang yang membangunkan itu. Seandainya rutin setiap dinihari kita mengejutkan anak-anak dengan cara yang kurang beradab, maka sebenarnya kita telah menyalakan api kebencian yang bahaya dalam minda separa sedar anak itu. Oleh itu, elakkanlah perbuatan yang DILARANG sewaktu mengejutkan anak bangun dari tidur seperti :

  1. DILARANG meninggikan suara.
  2. DILARANG menggunakan kata-kata kesat atau makian.
  3. DILARANG menepuk dengan pukulan kasar atau kuat.
  4. DILARANG menyimbah air.
  5. DILARANG membebel berterusan tanpa henti.

Semoga ummi dan ayah diberi kekuatan untuk lebih sabar dalam mengejutkan anak-anak bangun tidur.

Sumber : http://www.excelqhalif.com/2015/01/19/teknik-taktik-kejut-anak-bangun-pagi/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *