Nov 28

Tips cara kejutkan anak bangun pagi

Assalamualaikum…

Tahun depan anak sulungku Muadz dah nak masuk darjah 1. Benda yang paling risau adalah untuk kejut bangun pagi. Sekarang ni pun kadang-kadang agak liat untuk bangun pagi. Dah bangun kadang termenung dalam tandas. Si kakak Zilal pun sama, ditambah lagi dengan manjanya. Rasa dulu ada baca tips cara kejutkan anak bangun pagi. Tapi biasalah manusia cepat lupa. Jadi tulis semula di sini untuk ingatkan diri sendiri.

Tak seronok sebenarnya bila bangun-bangun nak marah-marah. Tapi kadang sebenarnya mak ayah yang terbangun lambat. Bila kelam-kabut tak pasal-pasal anak jadi tempat kena marah. Jadi, sebelum nak amalkan tips ni, penting untuk mak ayah sendiri bangun awal supaya lebih bertenang untuk kejut anak-anak.

# PERSEDIAN SEBELUM TIDUR

  • Seeloknya makan malam lebih awal supaya anak-anak boleh tidur lebih awal. Makan malam yang lewat dan berat sebelum waktu tidur boleh menggangu tidur dan membuatkan anak anda lebih susah untuk bangun di pagi hari.
  • Sesetengah pertarungan untuk bangun awal pagi adalah berpunca daripada tidur pada lewat malam. Hadkan penggunaan gadjet mahupun televisyen yang boleh melekakan anak-anak sehingga berjaga ke larut malam.
  • Siapkan juga kelengkapan untuk esok pagi seperti kerja sekolah, alatulis, pakaian sekolah, beg sekolah dan sebagainya dengan lebih awal. Bila semua sudah sedia, urusan pada waktu pagi insya Allah akan berjalan dengan lebih lancar.

Alhamdulillah, yang ini rasanya semua ok. Kecuali kelengkapan sekolah, kadang tak sempat nak siapkan malam-malam sebab si kecik dah meragam.

# TIDUR DENGAN BAHAGIA

  • Berikan motivasi sebelum tidur. Cetuskan keghairahan dengan cerita-cerita persekolahan yang menaikkan semangat mereka untuk seronok pergi ke sekolah. Beri dorongan dengan menjelaskan bahawa guru-guru dan kawan-kawan pasti tertunggu-tunggu kehadiran mereka di sekolah esoknya. Dan guru-guru suka siapa yang datang awal pagi ke kelas.
  • Sebelum tidur, pesanlah untuk mereka baca doa sebelum tidur beserta surah Al-Muawwizat (3 Qul).
  • Elakkan konflik sebelum tidur. Jika ada, selesaikan dengan segera. Pujuk anak dan terus bermaaf-maafan. Berikan pelukan dan ciuman pada si manja sebelum mereka tidur. Pastikan mereka tidur dalam keadaan gembira dan mencium tangan ibuayah terlebih dahulu sebelum mereka lena dibuai mimpi.
  • Ketika mereka dalam zon separa sedar (tidur-tidur ayam), selitkan juga doa ibuayah dan programkan minda si manja untuk mereka mudah bangun awal untuk ke sekolah.
  • Pastikan anak-anak tidur dalam suasana aman, jauh dari gangguan dan kebisingan. Jika memasang rakaman bacaan Al Quran semasa anak-anak tidur, minimakan kelantangan bunyinya.

# KEJUTKAN DENGAN KASIH-SAYANG

  • Beri salam kepada anak yang sedang tidur. Gunakan nada suara yang lembut, bukan suara yang tinggi seperti, “Assalamualaikum anak soleh. Bangun sayang, anak ibu ni suka bangun awal”.
  • Gerakkan mereka dengan sopan, bukan agresif. Sentuh hujung ibu jari kaki mereka dan goyangkan perlahan-perlahan. Jangan direntap ibu jari kaki mereka, kelak mereka menyimpan dendam.
  • Elakkan mengetuk pintu bilik mereka dengan keterlaluan sehingga menyebabkan anak bangun dalam keadaan terkejut dan ketakutan.
  • Kejut anak secara berperingkat. Jangan terus disimbah air ke atas mereka. Kejut, biarkan sekejap kemudian kejut sekali lagi. Jangan terlalu memaksa.
  • Panggil nama mereka dengan lembut dan teruskan menggoyang kakinya. Jika masih belum sedar, kuatkan sedikit suara dan goyang badannya.Teruskan memanggil namanya dan panggillah panggilan yang baik. Kejutkannya sambil memujinya : “Bangun sayang, anak umi yang baik, anak umi yang soleh, anak umi yang rajin. Anak ummi ni senang bangun. Ummi kejut, terus bangun.”
  • Sebaik saja anak bangun, terus berikan anak anda ganjaran ciuman dan pelukan supaya timbul rasa gembira pada diri mereka untuk bangun tidur. Usap kepalanya sambil bercakap dengan lembut agar si manja terus mandi, solat subuh dan bersegera ke sekolah untuk menjadi anak yang bijak pandai.
  • Berilah ganjaran dari sudut pujian dan galakan apabila si manja memberikan kerjasama yang baik untuk bangun tidur di awal pagi sebelum ke sekolah. Hargailah setiap perkembangan mereka, teruskan mendorong dan berdoa.

Dari sudut segi psikologi, jika seorang anak itu dikejut dengan herdikan atau pukulan, maka minda separa sedar akan diaktifkan sedikit demi sedikit untuk membenci dan berdendam dengan orang yang membangunkan itu. Seandainya rutin setiap dinihari kita mengejutkan anak-anak dengan cara yang kurang beradab, maka sebenarnya kita telah menyalakan api kebencian yang bahaya dalam minda separa sedar anak itu. Oleh itu, elakkanlah perbuatan yang DILARANG sewaktu mengejutkan anak bangun dari tidur seperti :

  1. DILARANG meninggikan suara.
  2. DILARANG menggunakan kata-kata kesat atau makian.
  3. DILARANG menepuk dengan pukulan kasar atau kuat.
  4. DILARANG menyimbah air.
  5. DILARANG membebel berterusan tanpa henti.

Semoga ummi dan ayah diberi kekuatan untuk lebih sabar dalam mengejutkan anak-anak bangun tidur.

Sumber : http://www.excelqhalif.com/2015/01/19/teknik-taktik-kejut-anak-bangun-pagi/

Nov 25

Cabaran relaktasi

Assalamualaikum..

 

Alhamdulillah, ilmu tentang susu ibu dah semakin meluas. Semakin ramai yang sedar kebaikan dan kepentingan susu ibu buat si kecil tercinta. Bagaimana sekiranya anda sudah memberhentikan penyusuan kerana kurang ilmu dan sokongan dan kini ingin menyusu semula? Proses menyusukan semula selepas memberhentikan penyusuan tidak kira sama ada sekejap atau lama dipanggil RELAKTASI. Perlu diingatkan bahawa semakin lama penyusuan diberhentikan semakin sukar untuk melakukan proses relaktasi. Ianya akan lebih mencabar.

Apa persediaan yang perlu ada?

  • Sikap – Ibu perlu bersikap tegas, sabar, mempunyai azam dan semangat yang kuat dan nekad. Ini kerana tanpa semangat yang kuat, ibu akan cepat mengalah apabila tidak berjaya menyusukan di awal percubaan.
  • Dompridone – Mulakan dengan mengambil Dompridone dibawah PENGAWASAN DOKTOR/KAUNSELOR PENYUSUAN sahaja. Pastikan dapatkan ia daripada doktor dan tidak mengambil ubat sesuka hati.
  • Pam payudara – sebaiknya dapatkan pam yang terbaik, jika mampu yang double-pumping. Ini kerana ibu akan memerlukan banyak tenaga untuk mengembalikan semula susu. Penggunaan pam akan lebih memudahkan.
  • Emosi – Ibu perlu bersedia dari segi emosi. Kebanyakan bayi akan menolak untuk disusukan secara direct dari payudara kerana terbiasa dengan puting botol susu. Jadi ibu perlu bersedia untuk ditolak oleh bayi. Jangan mudah sedih dan kesian. Sentiasa berfikiran positif.
  • Redha suami – sebaik-baiknya mulakan dengan mendapatkan redha suami. Apabila suami redha insyaAllah anda akan mendapat sokongannya. Ada suami yang tidak faham kepentingan susu ibu. Ibu boleh mulakan dengan bercerita tentang khasiat susu ibu kepada suami sedikit demi sedikit. Sebaiknya berceritalah semasa dia tengah relaks, tentu ibu lebih tahu emosi suami sendiri kan. Maklumkan juga bahawa suami bertanggungjawab memberi makanan terbaik untuk anak-anak. Apakah suami sudah bersedia sekiranya ditanya oleh Allah adakah dia sudah menjalankan tanggungjawabnya dengan memberikan yang terbaik?
  • Doa – Banyakkan doa dan dekatkan diri dengan Allah. Sesungguhnya setiap rezeki itu dari Allah.
Bagaimana untuk melakukan proses relaktasi?
1. Skin-to-skin contact – Banyakkan sentuhan kulit ke kulit dengan anak. Biarkan anak baring ke dada ibu tanpa pakaian. Biar bayi cuma berlampin sahaja dan ibu tak perlu berpakaian pinggang ke atas. Biarkan bayi mengingati semula bau ibu dan mengenali semula payudara ibu. Peluk dan usap dengan penuh kasih sayang.
2.  Kurangkan penggunaan botol – ajar anak minum guna syringe, sudu atau sippy cup. sekali sekala cuba suakan payudara untuk bayi menyusu.
3. Pam dengan konsisten – sebaiknya pam setiap 2 jam sekali pagi dan petang. Jangan ada rasa give up atau malas ya.  Peringkat awal ni sangat penting untuk pam dengan kerap dan konsisten. Teruskan pam walaupun hanya keluar angina atau susu hanya setitik dua.
4.  Pemakanan – Jaga pemakanan. Ambil makanan yang berkhasiat dan lengkap dengan sumber nutrien. Jangan skip makan.
5. Supplemen – Pengambilan supplemen dapat memastikan tubuh ibu lengkap dengan sumber nutrient penting terutama buat ibu2 yang tak sempat masak, atau yang kerap ambil makanan frozen. Ia juga memastikan ibu kekal sihat dan segar. Apabila ibu sihat, susu akan dapat dihasilkan dengan lebih lancar.
6. Dekatkan diri pada Yang Esa. Banyakkan buat solat hajat dan solat taubat. Kadang-kala mungkin kita diuji kerana dosa-dosa kita. Kerapkan berzikir dan berdoa.
Tips untuk menyusukan anak semula. 
Susukan bayi dengan separuh susu formula, kemudian tawarkan payudara kepada bayi.
Berikan latihan ini semasa bayi dalam keadaan relaks dan gembira.
Elakkan semasa bayi mengantuk, lapar atau tidak selesa.
Selamat kembali menyusukan!!

Kami ialah PENGEDAR SAH SHAKLEE anda di Bandar Saujana Putra! Sila SMS/ WhatsApp ke +6010-4289601 (Hanis) untuk self pick-up di Bandar Saujana Putra.

Your Shaklee Independent Distributor
Hanis Amin
♥ SMS | WhatssApp : 010-4289601
♥ Shaklee ID : 837662
♥ FB Page : http://www.facebook.com/HanisHealthyLife
♥ Email : hanisamin@gmail.com

Nov 24

Bersalin di hospital sungai buloh

Assalamualaikum…

Baru-baru ni keluar cerita di FB pengalaman tak best bersalin di hospital sungai buloh. Saya pun sebenarnya masa nak bersalin di hospital sungai buloh, rasa ragu-ragu dan risau. Pilihan pertama memang hospital serdang tapi memandangkan hospital serdang sedang renovate, jadi suami tak boleh teman masuk isteri masa bersalin. Jadi pilihan kedua hospital sungai buloh. Itupun dah dekat nak bersalin, tiba-tiba suami kata cancellah sungai buloh. Isteri kawan dia baru bersalin kat situ dan pengalaman sangat tak best. Dia tengah dalam proses buat aduan ke KKM sebab doctor yang dengar cerita tu pun minta buat report.

Saya pun jadi risau dan banyak search ‘pengalaman bersalin di hospital sungai buloh’. Macam2 cerita, ada yang bagus ada yang tak bagus. Tapi sedia maklum hospital sungai buloh tu memang agak ramai patient. Dan kebanyakan yang saya baca tu, bila czer ada masalah, kalau normal, insyaAllah ok. Cuma biasalah, nasib tak baik dapat nurse yang mulut tak berapa baik. Jadi saya nekad, insyaAllah ok bersalin hospital sungai buloh dan start membayangkan dan mendoakan yang baik-baik.

Saya memang dah target tak nak pergi awal sangat sebab tak nak ditahan lama di hospital. Kalau macam masa zilal tu just nice juga sebab sampai dah 8 cm terus masuk labor room. Tapi Alhamdulillah juga, tak sampai terlalu lewat sebab kami pun tak biasa dengan hospital ni. prosedur di hospital sungai buloh agak lambat sikit. Walaupun dah tengok kita dok menahan sakit, still kena tunggu giliran untuk daftar dan tunggu giliran untuk diperiksa. Kalau dah 8 cm tu, agaknya tengah tunggu nak daftar dah terberanak. Masa zilal dulu, dia tengok kita dah sakit, dia terus suruh masuk check dulu bukaan berapa cm.

Tapi mungkin juga dari pandangan nurse tu, belum lagi sakit nak bersalin sangat dah. Yelah, mereka lebih berpengalaman kan. Mesti dah tengok macam-macam style sampai dah boleh agak. Jadi, saya keep on think positive. Bagus juga daftar dulu. Mereka terangkan suasana tengah ramai orang, memang takde katil sebelum bersalin sebab katil tak cukup. Cuma duduk di kerusi. Kalau sanggup, kena sign surat aku janji. Jadi saya memang dah set mind kena duduk di kerusi dan dah set mind, baby akan keluar hari ni juga. Jadi takde la lama sangat di hospital.

Memang betul, bila masuk tu kerusi pun hampir penuh, ada juga yang duduk di kawasan pantry. Katil tak banyak, dari perhatian saya, lepas doctor check, doctor akan minta gilir-gilir tukar baring di katil untuk yang tak larat. (Tapi nak tunggu turn kena check doctor pun memang agak lama sebab ramai orang). Dengar mereka bercerita, memang ada yang dah bermalam di kerusi 1-2 malam. Tapi saya kekalkan positive vibes saya. Sambil layan contraction, jalan-jalan baca board di hospital. Sekejap duduk, sekejap bangun. Sekejap membayangkan yang baik-baik.

Alhamdulillah, mungkin bila kita berfikiran positif, apa yang berlaku pun kita akan take as positive. Contohnya masa proses bersalin saya kan agak kelam-kabut (boleh baca di sini), nurse pun dalam kelam-kabut tu ada juga cakap, ‘eh, awak ni macam tak pernah bersalin plak’ dengan nada agak kuat. Tapi masa tu mmg saya tengah blur sebab kejadian cepat sangat, tak tau nak angkat kaki ke nak peluk baby ke, hehehe. Jadi memang lepas tu bila cerita dengan suami, tergelak je la. Mungkin kalau masa tu saya tengah stress, mungkin boleh je saya rasa macam, “nurse ni, itupun nak marah. dah la orang tengah blur ni. cakap la elok2”.

Bila masuk wad pun walaupun katil tambahan, takde meja untuk makan(saya makan, letak makanan dan hujung katil dan saya duduk), saya ok je sebab fikir ‘xpe, sekejap je nak balik dah.’ Kalau ikut kelayakan suami, saya layak kelas kedua, tapi masuk kelas ketiga. Suami saya mula macam bising juga, tapi saya cakap ‘alaa…bukan lama sangat nak duduk hospital pun.’ Alhamdulillah bila kita fikir positif, segalanya kita nampak sebagai biasa je.

 

Jadi, pesan saya untuk yang nak bersalin di hospital sungai buloh :

1. Jangan pergi awal sangat, kalau dah masa nak bersalin. Kira jarak contraction tu.
2. Kalau rasa tak boleh tunggu lama, better cari hospital lain sebab hospital sungai buloh sangat ramai orang. Jadi kita memudahkan kerja mereka di hospital dan juga menjaga perasaan kita sendiri.
3. Banyakkan berdoa supaya proses sebelum bersalin, semasa bersalin dan selepas bersalin dipermudahkan dan dipertemukan dengan orang yang baik-baik.
4. Sentiasa fikir yang positif, bayangkan yang positif.
5. Banyakkan zikir dan selawat untuk ketenangan diri.

Feb 07

Persediaan penyusuan sejak dari hamil..

Assalamualaikum..

Ada ibu-ibu yang marah bila ada yang keluar kenyataan semua ibu mesti dapat menyusukan bayinya atau bila keluar isu tiada istilah tak cukup susu. Saya yakin Allah jadikan manusia ni sangat unik dan terselit pelbagai kebaikan dan hikmah dalam setiap kejadiannya. Memang ada ibu-ibu yang tak dapat menyusukan kerana masalah-masalah tertentu. Tapi kita diminta berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap apa yang kita lakukan sebelum mengalah tak kiralah semasa study, masa bekerja untuk menjadi ibu, menjadi seorang hamba Allah yang taat dan dalam segenap kehidupan. Hanya Allah yang tahu sama ada kita dah betul-betul berusaha atau masih ada lagi yang belum kita cuba. Wallahualam.

Saya cuma kongsikan dari pembacaan dan pengalaman saya. Selepas segala usaha, mungkin anda perlu merujuk kepada yang lebih pakar sekiranya masih ada masalah. Bagi saya persediaan untuk menyusu ni bermula sejak hamil. Bagaimana?

1. Setkan niat dan azam

Setkan niat dan azam untuk menyusu sejak dari hamil. Sentiasa berfikiran positif bahawa anda akan dapat menyusukan anak. Menyusukan anak adalah salah satu suruhan Allah.

Para ibu hendaklah menyusu anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuannya. Apabila kedua-duanya ingin memberhentikan (sebelum cukup tempoh dua tahun) dengan kerelaan kedua-duanya dan melalui perbincangan, maka tidak ada dosa bagi kedua-duanya.”
Al-baqarah, 233

Saya tak berapa pandai bahasa arab, tapi pernah dengar seorang ustazah kata, ayat ni ayat arahan sebenarnya. Cuma mungkin bila kita baca dalam bahasa melayu tak macam arahan sangat. Dalam bahasa arab kan ada fe’el mardhi, fe’el amar. Saya pun tak berapa tahu. Jadi, bila arahan kena buat sedaya-upaya macam solat, puasa etc. Tapi ayat tu disambung dengan sedikit keringanan iaitu kalau nak berhentikan penyusuan (kalau ada masalah tertentu) boleh berbincang sesama suami isteri dan lepas bincang dan rasa itu keputusan terbaik maka takde dosa. (Jadi kalau tak bincang dan buat keputusan tak nak menyusu adakah berdosa? Wallahualam. Kena tanya pada yang pakar.)

Pilihan kedua kalau tak boleh menyusu adalah memilih ibu susuan. Tapi kena hati-hati juga,

Imam Ali bin Abi Thalib a.s berkata :
Hati-hatilah kalian dalam memilih ibu susu untuk anak kalian kerana air susu yang diminumnya akan mempengaruhi jalan kehidupannya. [12]

Jadi, pilihlah ibu susuan yang beriman kerana ia salah satu faktor yang mempengaruhi selain dari didikan ibu bapa tersebut sendiri. Dan juga untuk menjaga keturunan. Takut nanti bila dah besar terkawin dengan saudara susuan pula. Cuma sekarang ni sebab dah banyak sangat dimomokkan dengan susu formula, jadi mungkin tekad kita tak cukup kuat sebab dalam minda dah ada, ‘takpe, nanti beli susu formula sebagai back up in case kalau tak cukup susu’.

2. Ikuti kelas penyusuan

Ramai yang rasa menyusu adalah perkara semula jadi. Walau bagaimanapun, di zaman serba mencabar ni dengan ibu yang bekerja dan pemakanan yang tak berapa sihat (junk food, fast food, makanan tin, perasa pewarna tambahan dll) penyusuan susu ibu jadi mencabar dan ramai yang mengalami masalah di tengah jalan.

Jadi sebaiknya pergi la kelas penyusuan semasa hamil. Boleh pergi ke hospital dan klinik kerajaan untuk dapatkan secara percuma. Tapi saya lebih galakkan pergi yang berbayar yang mana speakernya kaunselor laktasi. Memang terasa berbeza. Memang doktor dan nurse pun diberi pengetahuan susu ibu tapi doktor pun ada doktor biasa dan ada doktor yang pakar dalam bidang tertentu. Bila berjumpa dengan kaunselor laktasi, yang memang pakar dalam bidang penyusuan tentulah berbeza.

Masa Muadz dulu saya pergi kelas berbayar dianjurkan oleh susuibu.com bersama suami. Memang best. Diajar pegang bayi, cara perah susu secara manual, kenapa sokongan suami & keluarga penting, dan macam-macam lagi. Perbincangan pula secara 2 hala. Rasa memang sangat berbaloi pegi walaupun berbayar. Alhamdulillah, masa tu pergi dengan suami jadi suami pun dapat ilmu sekali dan menyokong sepenuhnya. Berbeza dengan klinik kerajaan yang saya pergi masa anak kedua ni, kelas dihadiri oleh ramai ibu jadi komukasi hanya sehala. Dan banyak diberikan teori2 sahaja. Tiada perbincangan dan suami tak boleh join sekali ya. Jadi, kalau mampu cubalah hadiri kelas berbayar bersama suami.

3. Tambah ilmu penyusuan.

Selain kelas boleh tambah ilmu dengan search internet dan ikuti forum2. Malah sekarang ni dah banyak blog tulis tentang penyusuan. forum pun ada. Bila kita banyakkan membaca, boleh baca pengalaman ibu-ibu yag hadapi masalah dan boleh tahu cara nak atasinya.

4. Amalkan pemakanan sihat. 

Insya Allah bila kita amalkan pemakanan sihat semasa hamil dan semasa menyusu, badan akan lebih mudah untuk menghasilkan susu. Kita pun lebih sihat dan kurang letih. Pastikan keperluan kalsium dan juga protein dalam badan mencukupi. Saya pilih untuk ambil supplemen Shaklee kerana dah rasa perbezaan bila tak ambil supplemen mahupun bila ambil supplemen lain. Terpulang pada anda memilih cara tersendiri.

5. Simpan nombor telefon peer kaunselor

Kadang-kadang walaupun dah banyak membaca tapi bila bayi lahir mungkin kita akan hadapi masalah untuk menyusukan. Kalau nak telefon pakar laktasi boleh juga tapi biasa mereka cas bayaran sebab menggunakan khidmat kepakaran mereka. Peer kaunselor ni pula ibu-ibu yang volunteer menjadi rakan ibu untuk membantu penyusuan. Mereka diberi latihan khas dan ada ikuti kursus2 tertentu.

Jadi, simpan nombor telefon peer kaunselor berdekatan anda. Saya sendiri masa muadz ada telefon dan minta peer kaunselor datang sebab saya rasa cara saya pegang bayi semasa menyusu tak betul. Saya risau bayi tak dapat susu secukupnya. Lebih-lebih lagi bila pegang tangan kiri untuk susukan yang belah kiri, rasa kekok sangat. Dan tak tau nak letak tangan bayi kat mana sebab rasa tangan bayi menghalang mulut bayi untuk sampai ke payudara. hehehe. Kelakar je rasa.

Peer kaunselor datang tengok cara saya pegang dan betulkan sikit2. Dia juga ajar position kalau nak menyusu baring, siap anak dia yang 5 tahun tu jadi model lagi. Kemudian, dia juga bantu sebab saya kata sakit masa pam pakai medela FS. Alhamdulillah. Bersyukur dapat bantuan ibu ini.

6. Banyakkan berdoa

Sentiasa berdoa dipermudahkan proses penyusuan. Allah itu sangat baik. Dia suka dengar kita berdoa dan merayu padaNya. Dia suka dengar suara hamba-hambaNya. Jadi dekatkan diri kepada Allah ya. Sesungguhnya Dia Maha Pemberi Rezeki.

Mungkin banyak lagi persediaan yang anda boleh lakukan dari segi minda, emosi, fizikal dan lain-lain.

Selamat menyusukan bayi anda!! Semoga bayi anda dapat yang terbaik.

Jan 10

Pelancaran Baby Kawaii Store

Assalamualaikum…

Alhamdulillah, setelah berhempas-pulas beberapa ketika berjaya juga siapkan Baby Kawaii Store dengan bantuan beberapa pakar. Itu pun ada juga lagi yang tak siap. Buat masa ni insyaAllah fokus kepada Cloth Diapers sahaja dulu. Bila dah berkembang, boleh tambah produk sedikit demi sedikit.

InsyaAllah more to natural produk. Oh, Shaklee still jalan juga. Sebab supplemen ni bukan sahaja bagus semasa mengandung tau, tapi juga masa berpantang dan menyusu. Tak perlu nak jamu-jamu. Ambil yang natural sahaja. (Shaklee dari bahan asli). Malah, kalau tak mengandung, berpantang dan menyusu pun, bagus ambil supplemen ni, lagi pula kehidupan kita yang semakin busy dan mengejar waktu. Tak sempat nak ambil makanan berkhasiat. Asyik beli yang segera atau makan yang dijual kat kedai yang mungkin letak banyak ajinomoto.

Untuk pembukaan ni , ada beberapa tawaran promosi dan pakej2 menarik. Jomlah visit ke

Terima kasih Kak Emma dari Deep Blue Eye yang sudi mereka logo di atas. Dan terima kasih juga kepada Imabiz yang sudi membetulkan template, letak background dan tambah function yang menarik di laman web tersebut.

 

InsyaAllah berusaha menuju ke arah menjadi business woman.   tongue

Dec 09

Sedikit terlambat

Assalamualaikum..

Hari ni terbaca entry seseorang yang dagh pun mendaftar perniagaan online dia. Terasa sangat jeles di situ. Saya baru plan nak ambil cuti dan pegi daftar perniagaan, dia dah buat dulu. Memang pun ramai je orang yang dah daftar perniagaan tapi mungkin kerana si dia ni orang terdekat yang pernah kerja sama pejabat dengan saya dan tahu dia pun part-time business macam saya.

Memang dia dah start dulu tapi tak sangka dia daftar perniagaan dulu. Uwaa.. bukan nak kata saya jeles sampai nak jatuhkan dia ye. Tak.. cuma sedikit jeles sebab saya ni lambat bertindak. Pengajaran di sini : SILA JANGAN BERTANGGUH. memang dah ada orang advise suruh daftar tapi disebabkan saya susah dapat cuti dan bila dapat cuti ada je benda lain yang perlu diuruskan dahulu, maka asyiklah bertangguh.
Continue reading