Jan 16

Sekolah Intergrasi SRI Al Furqan

Assalamualaikum…

Sebelum decide masukkan Muadz ke sekolah ni, cari-cari juga info dan review tentang sekolah ni. Tapi tak berapa jumpa pula. Jadi, saje nak share kalau ada yang berminat nak cari tentang sekolah Intergrasi SRI Al Furqan ni. Sekolah ni tak berapa besar, kat deretan kedai je tapi berpagar. Jadi budak-budak tak boleh sesuka hati nak keluar ke kedai.

Masuk ke sekolah kena buka kasut dan letakkan dalam beg kasut. Jadi, kasut sekolah mmg susah nak kotor. Cuma masa hari pendidikan jasmani sahaja bermain di padang di luar sekolah. Dalam kelas ada air-cond. Tak pasti semua kelas atau untuk tahap 1 sahaja. Makanan pula disediakan untuk rehat waktu pagi dan makan tengah hari. Jadi, tak perlu berebut beli makanan atau bawa bekal. Cuma mungkin perlu sediakan roti untuk dia makan petang.

sri al furqan

Sekolah ni sekolah integrasi, maksudnya dia dah gabungkan mata pelajaran sekolah kebangsaan dan mata pelajaran deeniyah (agama). Subjek deeniyah tu pula guna silibus IKRAM Musleh. Waktu persekolahan jam 8 pagi sehingga 3.30 petang. Tapi digalakkan datang 7.30 pagi sebab ada bacaan mathurat dan solat sunat dhuha. Kalau datang lepas pukul 8 pagi baru kena tulis nama dan denda. Untuk tahap 1, diajar solat zohor jam 3 petang sehingga 3.30 petang dan terus balik. Untuk tahap 2, diajar untuk solat berjemaah di masjid berdekatan pada awal waktu zohor.

Petang pula, hari isnin-rabu ada kelas mengaji tambahan. Hari khamis ada kelas taekwando. Hari Jumaat ada kelas renang. Kelas2 ni tambahan jika ada yang mahu ambil dan di buat di waktu petang selepas sesi persekolahan.

Sekolah ni menekankan elemen akhlak, akidah dan perasaan cintakan Allah dan Rasul. Jadi, walaupun subjek Matematik contohnya, akan dikaitkan juga dengan akidah. Hari tu, guru-gurunya terangkan, kita cuba buat konsep ‘jika Rasulullah berada bersama kita, apa Rasul akan buat? Apa Rasul akan kata?’ Jadi menggunakan konsep tersebut untuk bina akhlak anak-anak.

Alhamdulillah, setakat ni berpuas hati dengan sekolah ni. (baru 2 minggu je pun masuk sekolah). Harapnya membantu membentuk anak yang soleh dan musleh. Cuma yuran agak mahal sikit. Yelah, sebab sekolah swasta, tak dapat peruntukan dari kerajaan. Untuk pendaftaran, bayar RM400 (bulan 10), sebelum masuk sekolah kena bayar lagi RM820. Ada la perincian dia. Tak ingat pula. Setiap bulan bayaran sebanyak RM420 termasuk makan. Jadi ummi ayah kena bekerja keras sikit. InsyaAllah, moga jadi saham akhirat.

Jan 11

Sekolah rendah integrasi vs sekolah kerajaan

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, dah beberapa hari sesi persekolah tahun 2017 bermula. Muadz pun dah mula sekolah. Awalnya kami berkira-kira juga sama ada nak masukkan dia ke sekolah integrasi atau sekolah kerajaan biasa. Akhirnya setelah berbincang kami memilih sekolah rendah integrasi al-furqan.

Antara sebabnya :

  1. Tak perlu ke transit untuk tukar baju dan makan. Makan disediakan di sekolah integrasi.
  2. Tak perlu bayar van banyak kali untuk ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama.
  3. Silibus sekolah kebangsaan dan agama diajar sekali dalam sesi persekolahan.
  4. Sekolah al-furqan menggunakan silibus musleh walaupun bukan sekolah rangkaian musleh dan kami tertarik dengan silibus musleh yang kian meluas ni.
  5. Petang habis awal, selepas tu ada bersambung kelas mengaji tambahan jika mahu. Tak perlu nak keluar mengaji di malam hari.

Bagi kami, yang utama anak terdidik dengan akhlak yang baik dan iman yang benar. Nak didik sendiri kadang tak berapa nak pandai. Jadi harapnya, dengan persekitaran sekolah yang baik dan pendidikan yang baik membantu membentuk anak-anak kami. Cuma bayaran bulanan memang agak mahal sedikit. Yelah campur sekali makan tengah hari yang disediakan. Di Sekolah Rendah Integrasi Al-Furqan ni makanan rehat waktu pagi pun disediakan. Jadi tak perlu bagi duit belanja pun takpe. Dan memang kantinnya tak menjual makanan luar kecuali waktu petang. Lepas habis sesi persekolahan, jika lapar boleh la beli roti yang ada dijual.

Balut buku sekolah

Balut buku sekolah

Tapi ada juga sekolah integrasi yang beri makan hanya waktu tengah hari. Dan masa rehat pagi, murid perlu membeli di kantin atau membawa bekal seperti di sekolah biasa. Alhamdulillah juga sekolah Muadz dah sediakan makanan rehat. Ummi yang tak berapa rajin ni tak perlu nak sediakan bekal. Tapi, pagi sebelum ke sekolah ummi sediakan juga makanan untuk Muadz alas perut.

Lebih menarik silibus musleh ni bukan untuk anak sahaja tapi perlukan juga kerjasama ibu ayah. Yelah, nak didik anak bukan harapkan sekolah sahaja, ibu ayah berperanan penting dalam pendidikan anak-anak. Jadi, harapnya serba sedikit dapat la membantu kami berubah ke arah yang lebih baik juga. Sebelum masuk sekolah selain ada ujian untuk anak, ada juga sesi interview untuk ibu bapa. Masa tu diterangkan tentang sistem musleh tersebut.

Bagi kami, kami rasa ini pilihan terbaik kami buat masa ini. Lagipun buat masa ni sekolah kebangsaan yang terdekat pun masih belum ada. Paling dekat berhampiran dengan sekolah al-furqan ni juga.

Anak darjah satu

Image

Assalamualaikum…

Rupanya dah 2 tahun blog ini tak berupdate. Macam-macam perubahan yang berlaku dalam hidup ini sehingga menyukarkan diri untuk update blog. Sejak tekun aktif berblog di Hanis Healthy Life, blog ini tertinggal sedikit. Kemudian macam-macam lagi yang berlaku menyebabkan blog sana pun susah nak update. InsyaAllah akan cuba aktif berblog semula. Harapnya sempat.

Update terkini, anak dah pun 3 orang, dan saya dah pun kembali bekerja. Baru je 2 bulan kerja. Tapi kerja ni agak busy juga dan tak boleh akses Facebook. Blog2 yang famous pun tak boleh akses. Nasib baik blog ni boleh akses. happy

Pejam celik anak yang sulung dah nak masuk darjah 1 tahun depan. Anak yang kedua dah nak masuk 4 tahun bulan 12 ni, dan masuk ke tadika 5 tahun, tahun depan. Si kecil dah pun berusia 1 tahun bulan 10 yang lepas. Bila anak masuk darjah 1 ni, automatik terasa makin tua pula. Banyak persediaan untuk anak nak masuk sekolah.

InsyaAllah nanti saya akan update sekolah pilihan kami yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk kawan-kawan yang lain.

Buah hati ummi ayah

Buah hati ummi ayah

Nov 24

Bersalin di hospital sungai buloh

Assalamualaikum…

Baru-baru ni keluar cerita di FB pengalaman tak best bersalin di hospital sungai buloh. Saya pun sebenarnya masa nak bersalin di hospital sungai buloh, rasa ragu-ragu dan risau. Pilihan pertama memang hospital serdang tapi memandangkan hospital serdang sedang renovate, jadi suami tak boleh teman masuk isteri masa bersalin. Jadi pilihan kedua hospital sungai buloh. Itupun dah dekat nak bersalin, tiba-tiba suami kata cancellah sungai buloh. Isteri kawan dia baru bersalin kat situ dan pengalaman sangat tak best. Dia tengah dalam proses buat aduan ke KKM sebab doctor yang dengar cerita tu pun minta buat report.

Saya pun jadi risau dan banyak search ‘pengalaman bersalin di hospital sungai buloh’. Macam2 cerita, ada yang bagus ada yang tak bagus. Tapi sedia maklum hospital sungai buloh tu memang agak ramai patient. Dan kebanyakan yang saya baca tu, bila czer ada masalah, kalau normal, insyaAllah ok. Cuma biasalah, nasib tak baik dapat nurse yang mulut tak berapa baik. Jadi saya nekad, insyaAllah ok bersalin hospital sungai buloh dan start membayangkan dan mendoakan yang baik-baik.

Saya memang dah target tak nak pergi awal sangat sebab tak nak ditahan lama di hospital. Kalau macam masa zilal tu just nice juga sebab sampai dah 8 cm terus masuk labor room. Tapi Alhamdulillah juga, tak sampai terlalu lewat sebab kami pun tak biasa dengan hospital ni. prosedur di hospital sungai buloh agak lambat sikit. Walaupun dah tengok kita dok menahan sakit, still kena tunggu giliran untuk daftar dan tunggu giliran untuk diperiksa. Kalau dah 8 cm tu, agaknya tengah tunggu nak daftar dah terberanak. Masa zilal dulu, dia tengok kita dah sakit, dia terus suruh masuk check dulu bukaan berapa cm.

Tapi mungkin juga dari pandangan nurse tu, belum lagi sakit nak bersalin sangat dah. Yelah, mereka lebih berpengalaman kan. Mesti dah tengok macam-macam style sampai dah boleh agak. Jadi, saya keep on think positive. Bagus juga daftar dulu. Mereka terangkan suasana tengah ramai orang, memang takde katil sebelum bersalin sebab katil tak cukup. Cuma duduk di kerusi. Kalau sanggup, kena sign surat aku janji. Jadi saya memang dah set mind kena duduk di kerusi dan dah set mind, baby akan keluar hari ni juga. Jadi takde la lama sangat di hospital.

Memang betul, bila masuk tu kerusi pun hampir penuh, ada juga yang duduk di kawasan pantry. Katil tak banyak, dari perhatian saya, lepas doctor check, doctor akan minta gilir-gilir tukar baring di katil untuk yang tak larat. (Tapi nak tunggu turn kena check doctor pun memang agak lama sebab ramai orang). Dengar mereka bercerita, memang ada yang dah bermalam di kerusi 1-2 malam. Tapi saya kekalkan positive vibes saya. Sambil layan contraction, jalan-jalan baca board di hospital. Sekejap duduk, sekejap bangun. Sekejap membayangkan yang baik-baik.

Alhamdulillah, mungkin bila kita berfikiran positif, apa yang berlaku pun kita akan take as positive. Contohnya masa proses bersalin saya kan agak kelam-kabut (boleh baca di sini), nurse pun dalam kelam-kabut tu ada juga cakap, ‘eh, awak ni macam tak pernah bersalin plak’ dengan nada agak kuat. Tapi masa tu mmg saya tengah blur sebab kejadian cepat sangat, tak tau nak angkat kaki ke nak peluk baby ke, hehehe. Jadi memang lepas tu bila cerita dengan suami, tergelak je la. Mungkin kalau masa tu saya tengah stress, mungkin boleh je saya rasa macam, “nurse ni, itupun nak marah. dah la orang tengah blur ni. cakap la elok2”.

Bila masuk wad pun walaupun katil tambahan, takde meja untuk makan(saya makan, letak makanan dan hujung katil dan saya duduk), saya ok je sebab fikir ‘xpe, sekejap je nak balik dah.’ Kalau ikut kelayakan suami, saya layak kelas kedua, tapi masuk kelas ketiga. Suami saya mula macam bising juga, tapi saya cakap ‘alaa…bukan lama sangat nak duduk hospital pun.’ Alhamdulillah bila kita fikir positif, segalanya kita nampak sebagai biasa je.

 

Jadi, pesan saya untuk yang nak bersalin di hospital sungai buloh :

1. Jangan pergi awal sangat, kalau dah masa nak bersalin. Kira jarak contraction tu.
2. Kalau rasa tak boleh tunggu lama, better cari hospital lain sebab hospital sungai buloh sangat ramai orang. Jadi kita memudahkan kerja mereka di hospital dan juga menjaga perasaan kita sendiri.
3. Banyakkan berdoa supaya proses sebelum bersalin, semasa bersalin dan selepas bersalin dipermudahkan dan dipertemukan dengan orang yang baik-baik.
4. Sentiasa fikir yang positif, bayangkan yang positif.
5. Banyakkan zikir dan selawat untuk ketenangan diri.

Nov 23

Pengalaman bersalin anak ketiga

Assalamualaikum..

Alhamdulillah 19 oktober 2015 yang lepas, saya dah pun selamat bersalinkan anak yang ketiga. Setiap kelahiran memang melalui pengalaman berbeza dan setiap orang berbeza pengalamannya. Kali ni nak kongsikan pengalaman bersalin anak yang ketiga ni. Anak kali ni memang menguji ummi dia ni. Dari awal mengandung, saya alahan sangat teruk. Mampu makan nasi 1-2 suap je setiap kali. Sampai turun berat badan. Alahan pun agak lama. Anak-anak sebelum ni sehingga bulan ke-empat alahan, kali ni sehingga lima bulan lebih. Selainnya, alhamdulillah ok. Cuma masuk bulan ke-9, saya rasa nak makan banyak. Asyik nak makan je. Berat pun memang naik lebih sikit. hehe. Tapi overall dari awal kehamilan saya naik 12kg sahaja. Mungkin sebab di tengah-tengah tu ada penurunan berat badan. Ok, continue tentang pengalaman bersalin.

Menurut doktor, EDD saya 23/10/2015. Pagi 19/10/2015, saya dah mula contraction agak kuat. Sebelum tu memang dah ada contraction juga tapi sikit-sikit je. Pagi tu rasa agak kuat dan agak kerap. Saya minta suami ambil cuti dan mula rekod contraction. Contraction masih belum konsisten, setiap 8-10 minit. Biasa orang kata lepas mandi contraction akan lebih kerap, tapi lepas mandi hilang pula rasa sakit. jadi saya biar je. Sambil melayan contraction, saya amalkan teknik pernafasan dan cuba buat hypnobirth. Saya tak ke kelas hypnobirth, cuma refer pada youtube. Jadi saya cuba buat sendiri, bayangkan bukaan sedang buka perlahan-lahan. Bila rasa sakit, saya tarik nafas dan hembus nafas perlahan-lahan sambil goyangkan pinggul. Orang kata nak kurangkan sakit duduk kat bouncy ball, saya takde, jadi saya duduk tepi katil dan bounce sket sbb tilam saya jenis spring.

Dalam pukul 4, rasa macam tak tahan sebab contraction makin kuat. Mandi dan terus ajak suami ke hospital. Kali ni kami pilih Hospital Sungai Buloh. First time pergi hospital ni, jadi macam clueless sikit. Daftar nama, sempat lagi nurse tu inform prosedur-prosedur dan suruh isi-isi borang. Dalam hati terfikir nasib baik juga tak datang last minute macam masa zilal dulu. Masuk kat dalam tengok banyak kerusi dan semua penuh dengan ibu-ibu yang menunggu. Ada yang berbual-bual, ada yang sambil menahan sakit. Nurse dah inform awal-awal kat situ memang takde katil menunggu, menunggu semua di kerusi. Jadi saya pun jalan-jalan sambil menahan sakit. Sambil tu ururt-urut pinggang dan belakang yang sakit bila contraction datang. Dah pukul 6 nama saya tak dipanggil lagi, saya tanya nurse, lambat lagi ke? Saya macam tak larat dah ni. Nurse check nama saya, katanya ada 7 nama lagi sebelum saya. Tapi sebab tengok saya macam tak larat, dia check juga. Rupanya baru 4cm. Nurse check jantung baby ok, jadi minta tunggu dulu sebab lepas ni doc pula nak check.

Saya pun kembali duduk, minta suami belikan roti sikit untuk alas perut. Suami beli 2 jenis roti, saya larat makan satu je sambil menahan sakit. Bila datang sakit tu, ke laut juga teknik pernafasan saya, lepas tu baru cuba juga bertenang dan bernafas dengan tenang. Akhirnya perlahan-lahan sakit hilang. Lepas solat maghrib, sakit makin kuat. Jadi saya buat keputusan untuk duduk dan tidur. Bila sakit datang, saya terjaga dan cuba bernafas. Sampailah masuk waktu isyak. Dalam hati dah nekad, nak kena solat isyak dulu ni sebelum bersalin sebab dah masuk waktu. Bangun je terus rasa contraction. Macam tak boleh berdiri dibuatnya. Saya jalan juga perlahan-lahan ke surau. Masuk je dalam surau terus saya buat posisi merangkak.

Ada seorang nurse dalam tu baru selesai solat tanya “Awak dah berapa cm ni?”
Saya : Tadi check pukul 6 baru 4 cm
Nurse : anak ke berapa?
Saya : Anak ketiga.
Nurse : Baik awak pegi check cepat-cepat kalau dah tak tahan sangat.
Saya cuba juga jawab sambil tersekat-sekat.

Alhamdulillah, berjaya juga solat sambil duduk di kerusi sambil menahan sakit. Keluar dari surau tu saya papah tepi-tepi dinding. Dah tak boleh berdiri tegak. Ada seorang nurse perasan, dia kata “Awak kalau dah tak tahan bagitau nurse kat sana” Katanya sambil tunjuk ke arah sekumpulan nurse. Saya pun jalan perlahan-lahan dan beritahu “Nurse, saya rasa macam nak teran.”

Nurse tu tengok saya belum tukar ke kain hospital. Sebab masa saya masuk tu kain tak cukup, jadi tukar baju je. Nurse tu terus ambil kain dan minta saya tukar dan baring di katil untuk check bukaan. Masa saya buka kain dan seluar dalam terasa macam ada sesuatu panas keluar. Terus saya sarung kain dan baring. Nurse check dengan kelam kabut terus dia ambil barang2 saya dan tolak katil keluar sambil tanya “Bila air ketuban pecah?” Saya pun tak perasan, masa nak tukar kain tu kot. Sambil tolak laju2 dia beritahu rakan nurse lain dah full dilation. Terus saya ditolak masuk ke labour room. Sempat lagi saya bagitau, suami saya ada kat luar.

Nurse minta saya tukar ke katil labour room dan terus pusing ke kanan, jangan teran lagi. Bila nurse kata, ok pusing, saya dah terus terteran dan keluar kepala baby(tak teran sangat pun sebenarnya, more to breath out the baby). Apalagi, terus keadaan jadi kelam-kabut dengan saya pun tak ready position untuk bersalin. Tiga orang nurse terus membantu
“Angkat kaki awak, buka luas”
“Jangan kepit baby, kepala dah keluar ni.”
“Awak kena push lagi sekali untuk keluarkan badan baby ni.”
“Tangan pegang kat kaki macam ni.”

Dengan sekali lagi push, terus badan baby meluncur keluar. “Alhamdulillah” kata nurse. Dan saya terus terbaring. Nurse lap-lap baby dan letak baby atas badan, tapi saya pun macam blur masa tu sebab rasa macam cepat sangat apa yang berlaku, macam tak ready betul2. Siap kena tegur dengan nurse “Eh, pegang baby ni. Jatuh nanti.”

Alhamdulillah layanan nurse sangat baik. Alhamdulillah, saya rasa saya dapat gentlebirth yang saya idamkan sebab nursenya memang sangat gentle (ramai yang salah faham isu gentlebirth ni. Takpe la, lain kali saya cerita pasal tu.) Sambil dia buat kerja, dia akan inform apa dia buat. Jadi saya pun lebih bersedia.
“Saya tekan perut keluarkan uri ya.”
“Saya nak suntik bius untuk jahit ye. Kena jahit sikit sebab ada koyak.”
“Kat bahagian kulit ni tak boleh bius, jadi akan terasa sakit sikit, tahan ye.”

Baru saya tau bahagian kulit tu tak boleh bius. Masa anak kedua tu, rasa macam nak tendang nurse yang jahit sebab rasa macam dijahit hidup-hidup. Kali ni, bila diberitahu prosedur dan apa yang akan dialami saya rasa lebih bersedia. Memang sakit, bila saya mengaduh, nurse akan cakap “sikit je lagi puan. sabar ye” Sambil tu dia cuba ajak saya berbual, agaknya sebab nak hilangkan focus pada rasa sakit. Tanya berapa anak, kerja apa. Sambil tu dia pun cerita pasal anak dia. Macam sembang kawan-kawan. Alhamdulillah, tak terasa lama pun dia jahit tu. Lepas dah selesai jahit tu, nurse bagi semula baby dan masa tu suami masuk.

Terkejut suami tengok baby dah keluar. Terus Tanya “Eh, baby siapa tu?” Terus tergelak dengar pertanyaan dia. Dia kata dia tengah ready nak sambut baby, tu yang terkejut bila masuk tengok dah ada baby, nurse semua pun takde. Sorry la en. suami, kali ni tak dapat teman isteri bersalin sebab si isteri pun tak ready, tiba2 je baby dah keluar. hehehe. Suami terus tahnikkan dan azankan baby. Kemudian, terus saya susukan baby. Suami teman sampai dekat nak pukul 10 lebih juga. Pastu minta dia balik tengok anak2 lain. Dekat nak pukul 11 lebih, saya ditolak masuk ke wad. Kali ni dapat masuk wad proper(berbanding masa anak kedua dulu), cuma duduk kat katil tambahan. Ala, okla, satu malam je pun. Esoknya dah boleh keluar wad.

Kali ni, yang saya belum dapat, nak bersalin tanpa jahitan dan koyakan. Tapi memang agak culas makan virgin coconut oil dan tak sapu minyak kelapa di kawasan tempat baby nak keluar.

 

 

Nov 11

Susu Kambing IQeel

Assalamualaikum…

Apa khabar semua? Hari ni nak share tentang Susu Kambing IQeel. Susu ni baru di pasaran. Saya pun baru je cuba 2 hari lepas. Memang sedap. Tekstur dia halus je. Mudah larut dalam air. Bau pun takde bau kambing.

susu kambing IQeel


Inilah rupa susu kambing IQeel tu

Sekotak 500 gram lebih kurang sama macam susu kambing Wildan. Cuma harganya lebih murah iaitu RM43 je sekotak. Dah cuba juga bagi pada Muadz dan Zilal. Alhamdulillah, dua-dua boleh je minum. Saya campurkan sikit Meal Shakes dalam susu mereka untuk dapatkan khasiat multivitamin. Campur sikit je dalam setengah sudu kecil untuk muadz. Untuk saya punya sendiri, saya bancuh dengan sesudu ESP. Memang lazat berkrim. hehehe.

Susu Kambing IQeel ni masih mencari-cari agen dan stokis. Kalau nak beli online boleh beli dengan Stokis IQeel (013-3428255). Lagi best kalau beli 5 kotak dapat harga diskaun jadi RM200 je. Dapat jimat sikit. Sekotak tu boleh buat 24 bancuhan. Kira ok la. Tak jauh beza pun dengan susu kambing yang lain. Kalau nak jimat lagi ambil sekali sehari je.

Susu kambing IQeel

Hari tu terjumpa gambar di atas ni. Lagi rasa macam perlu bertukar ke susu kambing. Agaknya sebab tu la masa zaman nabi dulu mereka suka minum susu kambing berbanding susu sapi.

p/s – kalau nak susu kambing Wildan saya masih jual juga.

Jun 10

Percutian 3 hari 2 malam PERCUMA di Sunway Resort & Spa

Assalamualaikum..

Alhamdulillah Sabtu lepas sehingga semalam, dapat percutian percuma di hotel 5 bintang, Sunway Resort & Spa, ditaja sepenuhnya oleh pihak Shaklee. Kali ni Shaklee adakan National Conference qualifier (percutian percuma untuk mereka yang memenuhi syarat) serentak dengan Star Awards Achiever (untuk mereka yang layak dapat awards berdasarkan pencapaian tahunan). Jadi memang agak ramai dan sesak semasa event. Belum lagi termasuk mereka yang memang membeli tiket untuk hadir event ini.

Shaklee national conference

Goodie bag NC 2014

Beli tiket RM30 tapi dapat goodie bag barang berharga lebih RM70++. Memang sangat berbaloi. Alhamdulillah, tahun ni tahun kedua saya layak dapat awards. Tahun lepas event sehari sahaja, tahun ni 2 hari sebab ramai sangat yang layak. Seronok tengok semakin ramai yang berjaya dalam bisnes Shaklee. Dan lebih membanggakan bila kebanyakannya adalah muslimah dan ibu-ibu. Pakaian kebanyakannya menutup aurat dan mengikut syariat. Ada la juga sikit2 yang ketat-ketat, jarang-jarang tapi sikit sangat sebab kebanyakannya mak-mak orang. Naik pentas masing-masing pimpim tangan anak, dukung anak.

Continue reading

Feb 11

Dah pulang ke rumah…

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, semalam dah selamat pulang ke rumah. Punyalah berhabuk rumah sebab dah tinggal lama. Konon-konon macam, takpelah nak rehat dulu sebab belum sihat sepenuhnya. Tapi tak tahan tengok rumah huru-hara dan berhabuk-habuk. Selasa ada orang nak datang urut pula. Jadi, kena settlekan rumah juga.

Muadz takde, ikut tok ayah dan tok mak dia. Jadi dapatlah kami suami isteri uruskan rumah sikit. Kalau tak mesti dia asyik ajak main. huhuhu. Baby pun tak banyak meragam. Banyak tidur je. Dah balik rumah, dah macam-macam nak kena buat, maka stokin dan bengkung pun dah ke mana. huhuhu. Tapi kat rumah pakai selipar rumah. kat toilet pun ada selipar toilet. So okla sikit.

Tadi rasa macam banyak idea nak tulis. Tapi dah buat macam-macam, dah terlupa pula. InsyaAllah lain kali pula la sambung.

Feb 08

Dah habis pantang…

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, hari ni dah hari ke 45. Biasa orang pantang 44 hari kan. Kiranya dah habis pantang la ni. Tapi kalau boleh kali ni dah pantang berlebih sikit. Masih pakai stokin kat rumah. Masa Muadz dulu dekat nak 3 bulan juga saya pakai bengkung. Tapi pakai bengkung moden yang zap tu masa pergi kerja.

Insya Allah Sabtu ni akan urut penutup pantang dan petangnya balik ke rumah sendiri. Nanti bila balik rumah baru cari bengkung zap tu. Hari tu dah basuh dah sebelum bersalin.

Untuk makan pula, walaupun dah habis pantang janganlah terus hentam semua benda. Terkejut perut nanti. Cuba sesuatu sedikit demi sedikit. Saya dah ada makan ayam goreng. Semalam makan rendang daging yang pedas sikit. Agaknya dah lama tak makan pedas, petangnya sakit perut sikit. Alhamdulillah baby tak apa-apa.

Balik rumah nanti bermulalah saya sebagai WAHM(work at home mom) bersama 2 orang anak. Sekarang ni kalau tengok pagi2 baby banyak tido sampai tengah hari. Petang pula abangnya akan tidur. Jadi, pagi layan abang, petang layan baby. Kena curi-curi masa nak buat business juga. huhuhu.

Kalau masak atau jemur kain, Muadz dah boleh bantu sikit2. Takde la bantu sangat pun tapi buat sama2 sikit2. Jadi oklah dia tak boring. Tapi kalau ummi duduk depan PC je, mula la dia pun panggil, muadz nak ni.. muadz nak tu.. Ummi..jom main. huhuhu.

Tapi yang bestnya WAHM ni anak sentiasa dengan kita. Dan boleh tengok perkembangan dia secara direct.

Tengah terfikir, balik nanti banyaknya benda nak kena buat sebab dah tinggal rumah dekat nak 2 bulan dari masa standby nak bersalin. Sure banyak nak kena kemas. Dan nak kena pegi shopping baranng2 makanan sebab dah dikosongkan sebelum keluar hari tu.

Oklah..dah balik rumah nanti tak pasti sempat atau tak nak update blog ni. huhuhu..

Mar 08

Weaning-off process

Assalamualaikum…

Alhamdulillah, lagi 2 bulan Muadz dah pun nak masuk 2 tahun. Hari ni, saya officially stop pump@work. Dah setahun lebih mengangkut beg pam, tiba2 hari ni rasa macam kosong plak. Sebelum ni memang dah banyak sangat cari proses untuk cerai susu. Tapi tak jumpa yang saya nak cari.

Saya percaya cerai susu ni satu proses. Bukannya bila kita target sampai 2 tahun then terus minta anak berhenti menyusu dan ganti dengan yang lain. Banyak yang saya jumpa adalah cara supaya anak dah tak mahu menyusu direct. Macam2 la, ada yang letak ubat gigi dan macam2 pada B supaya anak tak menyusu dah.

Tapi, pada saya yang penting adalah apa pengganti yang sesuai untuk si kecil dan bagaimana proses itu berlaku. Yelah, sebelum ni menyusu badan so semua khasiat makanan yang kita makan, insyaAllah dia pun dapat. Tak perlu nak risau sangat. Kalau kita makan vitamin dia pun dapat juga sikit. Tetapi bila dah tak menyusu, maka kadang2 banyak la penyakit datang seperti sembelit, cirit-birit dan lain2.

Proses cerai susu ni sebenarnya bermula dari anak 1 tahun, iaitu apabila dia sudah mula makan. kemudian, sedikit demi sedikit kuantiti makanan berubah. Saya mula bagi muadz minum air lain selain susu ibu dan air masak mula usia setahun 6 bulan. Saya juga mula beri Meal Shake (multivitamin) dan OmegaGuard bila Muadz usia setahun.

 

Mula2 bagi susu kotak dutch lady. Tapi dari pembacaan susu kotak tu susu proses takut tak sesuai dengan bayi. Jadi saya mula beli susu kambing fresh. Alhamdulillah, senang didapati di jusco Midvalley. Disebabkan suami kerja berhampiran situ, memang minta dia aje la belikan.

Sekarang ni selain susu kambing fresh saya bagi juga susu ILHAM. Bila ada kat rumah pula cuba distract dia dengan buat benda lain selain nak menyusu. Malam akan beri dia makan sampai kenyang supaya dia tak menyusu lama masa nak tidur. Basically, inilah proses yang saya buat.

1 tahun :

  • Perkenalkan supplemen Meal Shake dan OmegaGuard. Meal shake tu saya bancuh utk diri sendiri dan bagi dia 1-2 sudu kecil sahaja. Omega Guard pula saya pecahkan letak atas sudu dan bagi sebulan 1-2 kali sahaja.
  • Perkenalkan nasi lembut dan mee.

1 tahun 6 bulan :

  • Perkenalkan minuman susu selain susu ibu iaitu susu kambing segar. Tapi seminggu 1-2 botol je.
  • Makanan, dah hampir semua masuk. Walaupun cuba sedaya -upaya elak coklat dan junk food.

1 tahun 8 bulan :

  • Perkenalkan minuman manis yang lain iaitu air oren, air sirap tapi still akan banyakkan minum air masak.
  • Susu ke taska dari 3ozx6 dah jadi 4oz x 3 botol. Minum susu masa nak tidur je.

1 tahun 9 bulan :

  • Perkenalkan susu tepung ILHAM. Alhamdulillah, muadz tak sembelit. So bekal ke taska 1 botol susu ILHAM, 1 botol susu ibu, 1 botol susu kambing. Kadang2 habis 3 botol, kadang2 2 botol je.
  • Kat rumah pun menyusu bila nak tidur sahaja.

1 tahun 10 bulan :

  • Dah mula cakap2 kat muadz yang dia dah besar. kena minum susu dalam cawan.
  • Berjaya tidurkan tanpa susu 2 kali. hehehe. InsyaAllah akan usaha lagi.
  • Makan malam agak berat. Mula beri minuman yogurt.

Harapnya Muadz dapat khasiat sepenuhnya. Dalam susu ILHAM tu saya campurkan juga sikit meal shake. Tapi kadang2 rasa best je bila tengok dia menyusu.

Dulu2 suka sembang2 dan bagi nasihat masa dia menyusu sambil usap2 kepala dia. Dia pun pandang je muka sambil angguk2 sikit2. Rasa comel sangat. Kadang2 suka membaca masa menyusu, jadi sekarang ni dia pun pantang tengok buku, mesti nak duduk dan ‘baca’.

Saya tahu ada je yang extended breastfeed tapi saya ada reason tersendiri untuk cukupkan penyusuan hingga 2 tahun. Memang itu pun target saya. Anak makin membesar, dia semakin kenal perbezaan tubuh lelaki dan wanita. Jadi perlu jaga juga.

Mungkin juga Allah belum beri rezeki Muadz dapat adik untuk saya kembali fokus peranan sebagai isteri kepada suami. Apa pun perancangan Allah itulah yang terbaik.

Semoga bermanfaat untuk mereka yang dalam proses yang sama..

Jan 16

Nak banyakkan susu masa dalam pantang…

Assalamualaikum…

Dah lama tak update tentang penyusuan di sini..

Semenjak saya berniaga Shaklee, banyak ragam ibu-ibu yang saya jumpa. Alhamdulillah, ia mengajar saya supaya lebih banyak menambah pengetahuan supaya dapat consult ibu-ibu dengan baik. Malah ia juga banyak mengajar saya untuk bersabar dan banyak mendidik nilai-nilai dalam diri.

Mungkin kerana itulah Rasulullah mengatakan 9 daripada 10 pintu rezeki adalah dengan berniaga. Malah mengajar saya supaya lebih dekat dengan Allah, dan yakin bahawa rezeki itu sepenuhnya milik Allah. Rezeki tu bukan sahaja wang, tapi juga kesihatan, makanan dan apa sahaja yang kita dapat manfaat darinya.

Ramai ibu-ibu yang menghubungi saya untuk banyakkan susu masa dalam pantang, atau lepas bersalin terus nak banyak susu. Perkara paling asas yang perlu difahami adalah konsep asas penyusuan susu ibu iaitu demand vs supply, semakin kerap payudara dikosongkan semakin banyak susu yang akan terhasil. Bukan bila makan shaklee, lepas bersalin terus susu turun mencurah-curah ya.

Penghasilan susu juga bergantung pada hormon, jadi selepas melahirkan badan akan develop keupayaan untuk menghasilkan susu. oh ya, tak lupa juga perut bayi baru lahir sangat kecil, cuma sebesar 1 biji kacang pea. Jadi kalau susu turun mencurah2 tercekik la dia. Hebatnya kuasa Allah, susu akan terhasil mengikut keperluan bayi. Semakin besar perut bayi, dia akan minum lebih banyak lagi, maka susu pun akan terhasil dengan lebih lagi.

Bila payudara kerap dikosongkan ia akan menghantar signal kepada otak bahawa lebih banyak susu perlu dihasilkan kerana sentiasa ada demand. Sebab tu kalau perasan bila kita kerap miss masa pam, atau pam lambat dari biasa, maka penghasilan akan berkurangan sedikit demi sedikit. Ambillah sebanyak mana milk booster pun, sekiranya konsep asas ini tidak difahami, ia tidak akan dapat membantu anda untuk jangkamasa panjang.

Supplemen Shaklee membantu ibu kekal sihat dan segar kerana memenuhi semua nutrient yang diperlukan. Apatah lagi masa berpantang banyak makanan yang tak boleh dimakan. Jadi, bagaimana nak dapat khasiat? Maka, bila ibu sihat dan segar, ibu pun akan lebih gembira dan positif dan susu pun akan lebih mudah terhasil.

Sebab tu banyak feedback yang kami terima bahawa dengan pengambilan Shaklee, susu bertambah banyak. Sebenarnya ia bertindak tidak secara direct. Anda akan dapati banyak lagi kesan-kesan positif yang lain.

 

Untuk menjayakan penyusuan susu ibu, fahami dulu asas penyusuan ya..

 

Selamat berjaya!!

Jan 13

Maxi-Cosi Car seat

Assalamualaikum dan salam jumaat…

Dah beberapa lama nak cari car-seat untuk Muadz sebenarnya. Kesian dia, still pakai car seat-carrier yang dari baby tu. Bila dalam kereta asyik baring sampai kaki pun dah tak muat. kepala pun dah terkeluar sket. huhuhu.

Hari tu dah beli satu car seat, memang cantik. Tapi tak memenuhi citarasa. Alhamdulillah dah selamat dijual pun. Nak cari car seat yang boleh duduk dan baring walaupun baby ada kat atas tu. Tak perlu nak ubah setting dia.

Cari punya cari terjumpa dengan,

Maxi-Cosi: Opal Convertible Car Seat

Sedikit Produk info,

Featuressigh/div>
  • Perfectly fit for children from birth to 18.0kg (rearward-facing for babies and forward facing for toddlers)
  • Longer usage for rearward-facing (more space for the legs and adjustable headrest)
  • With one click you can easily switch from rearward to forward facing position, using the same belt routing
  • Belt tensioner usable in both rearward and forward facing positions to ensure extremely secure installation
  • The height of the headrest and harness belts can be adjusted at the same time (6 positions)
  • Easy to adjust the width of the seat
  • Compact design fits easy in all cars
  • Easy to install with a regular 3-point safety belt
  • Easy to adjust at the front from sitting to sleeping position (5 positions)
  • Cover can be removed without taking out the harness (for cleaning)
  • Unique angle base offers optimum recline for optimal comfort in rearward facing position
  • Soft padded seat
  • Side Protection System offers optimal protection against side impact
  • Including support pillow for younger babies
Recommended Age: From Birth up to 18.00kg. (Approx 4 years old)
Maka hati pun terus terpaut tak mau lepas-lepas. Lagi pula bila baca review di sini. Terus rasa mahu..mahu dan mahu.. Tapi harganya.. hmm.. berkali-kali ganda la pula mahalnya. Tapi kalau pakai lama sure berbaloi kan.
Apa-apa pun kena bincang dengan suami tercinta dulu. Walau bagaimanapun tadi dah bagi email ayat mendayu-dayu sket. Oh ya, kalau sesiapa ada tahu mana-mana tempat yang ada SALE especially for maxi-cozy ni, silalah maklumkan saya dengan kadar yang sesegera mungkin ya. Dengan izin Allah, saya mahu membelinya. Doakan ya.
Dec 22

Alhamdulillah…

Assalamualaikum..

Terima kasih kepada semua yang sudi bertanya tentang car seat semalam. Tak sangka, banyak betul yang bertanya. Alhamdulillah, dah terjual kepada yang paling awal bertanya.

Oh ya, saya sedang mengadakan promosi akhir tahun untuk Shaklee, supplemen untuk kesihatan anda. Jika berminat, sila lah layari Hanis Amin Shaklee Store. Pelbagai produk untuk keperluan ibu menyusu, ibu hamil, dalam pantang, anak-anak, suami isteri malah untuk warga emas pun ada.

Jemput singgah, jangan malu-malu ya..

 

Dec 20

(SOLD!) Aldo: Ego Convertible Car Seat

Assalamualaikum…

Saya nak let go car seat. Masih baru, tak guna lagi, kotak pun still ada. Sebabnya tersilap beli. Ingatkan dia boleh adjust untuk duduk dan baring, rupanya tak boleh. Cuma boleh 1 kedudukan utk 1 masa.

Info lanjut tentang car set ni boleh tengok di http://www.littlewhiz.com/pd-aldo-ego-convertible-car-seat.cfm

Product Descriptions :-

Suitable from newborn to 4 years ( 0 to 18 kgs )

5 point security harness

Allow rear & forward facing

Internal cushion for extra comfort

Breathable fabric reduce the heat for tropical weather

Car seat weight : 8kg

Harga: RM130

Harapnya dapat beli car seat yang sesuai untuk Muadz lepas ni.

Ada sesiapa yang berminat?

car seat bersama model, Si Cilik Muadz

 

p/s – baru perasan saya tersalah letak harga rupanya. barang baru tapi less 50%. adoii.. tapi takpela, sebab dah tertulis, saya kekalkan harga tapi tak boleh nak kurang dah la ye. Oh ya, harga tak termasuk penghantaran. Nak jimat  boleh pick up di Bandar Saujana Putra.

*update* Alhamdulillah dah dapat dijual. Akan diambil esok. Terima kasih kepada semua yang bertanya…

Nov 22

Berhentikan penyusuan susu ibu?

Assalamualaikum…

Sedar tak sedar dah 2 bulan rupanya saya tak menulis dalam blog ni. Sejak start business Shaklee, memang agak busy sikit. Di sana pun memang sesuai untuk ibu-ibu menyusu, berpantang, mengandung dan lain-lain produk kesihatan. Lebih kurang sama macam isi blog ni. Cuma di sini, lebih kepada cerita personal sekali-sekala.

Alhamdulillah, insyaAllah bulan January nanti akan officially launch Baby Kawaii Store pula. Kedai menjual Cloth Diapers. Harapnya sempat betul2 launch bulan January nanti.

Penat juga jadi ibu yang bekerja + part time business ni. InsyaAllah akan menuju ke arah full time business bila target tercapai. Doakan saya ye. Sedar tak sedar Muadz pun dah setahun 6 bulan dan insyaAllah menjadi anak yang bijak sangat-sangat.

Bermula beberapa minggu lepas, saya mula campurkan susu Muadz dengan susu kambing segar. Mula-mula dengan susu kotak Dutch Lady Strawberry tetapi setelah bertanya pendapat ramai, ramai yang mengatakan susu berperisa manis. Lebih baik bagi susu segar dan susu kambing lebih baik. Jadi, kami pun membuat keputusan bagi susu kambing segar. Nasib baik ada dijual di Jusco. Senang hubby nak beli sebelum balik rumah. Sebotol RM5, untuk Muadz boleh untuk 2 kali minum.

Susu kambing segar ni sama juga seperti susu ibu, tak tahan lama. Jadi, saya bekukan juga, cuma label susu kambing supaya tak tertukar. InsyaAllah dalam proses perkenalkan Muadz kepada sumber kalsium yang lain selain susu ibu. tapi jujurnya, masih memikirkan cara terbaik.

Stok susu pun dah berkurangan tapi rasa sayang pula bila memikirkan saat Muadz berhenti menyusu. Kena dapat baby lain pula la untuk sambung lagi. huhu. Sehingga hari ini, saya masih membekalkan makanan untuk Muadz ke Taska. Tapi makanannya lebih kurang sama aje lah. Bubur nasi. cuma lauknya aje lain ikan, ayam, kentang, carrot, kalau ada sayur hijau letak sket, kalau ada brocolli letak sket. Entahla, agak kurang yakin dengan makanan di taska. Dah dapat detect 2-3 kali muadz macam makan coklat.

Kami memang agak menjaga sikit pemakanan Muadz. Walau pun saya tahu, kadang2 saya tak bagi cukup khasiat mengikut piramid makanan (sebab tu ada bagi muadz supplemen juga  tongue  ). tapi insyaAllah, saya yakin dengan kebersihan dan khasiat. dan takde saya bagi makanan mengarut. untuk makanan muadz memang letak garam dan minyak sikit sangat.

Gambar latest Muadz 1 thn 6 bln. Dah pandai posing..

Kalau ada sesiapa yang nak berkongsi cara weaning off anak, sila lah ya..

Jom kita share sama-sama…

Aug 30

Salam Aidilfitri

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, setelah sebulan kita berjaya menahan dan menundukkan nafsu, akhirnya marilah sama-sama kita meraikan kejayaan kita ini. Oh, bukan dengan menggula-gulakan kembali nafsu tetapi sebagai insan yang baru. Seperti keadaan bayi yang baru lahir iaitu dalam keadaan fitrah, bersih dan suci. Semoga semua yang menjalani ibadah puasa kali ini, lulus dengan cemerlang dalam Univeristy Tarbiyyah Ramadhan.

Ummi Muadz tahun ni beraya di pejabat sahaja. Muadz dan ayah je lah yang pegi beraya. Itupun tak tau ayah Muadz sempat beraya atau tidak sebab kena ambil dan hantar ummi Muadz. Akhir Ramadhan kali ni, memang ujian buat kami. 2 minggu sebelum berakhir Ramadhan, Muadz sakit mata. Bukan setakat merah tapi matanya bengkak sampai nak tertutup mata. Seminggu kemudian, bila muadz dah nak baik, ummi dan ayah pula sakit mata. Sama simptom dengan muadz.

Sedikit sedih kerana 10 malam terakhir tak dapat buat sehabis baik, namun itulah yang terbaik yang telah Allah berikan kepada kami. Walau bagaimanapun tetap seronok kerana tahun ni dapat menunaikan cita-cita untuk iktikaf di masjid shah alam bersama muadz. muadz bukan main seronok. pukul 4 lebih dah bangun sahur sama2 pastu main2 ke sana ke mari. Orang solat dia pun sibuk nak solat. Setakat ni baru pandai takbir dan sujud. Alhamdulillah. Semoga jadi anak yang soleh ya Muadz.

Oh, sedikit pesanan kepada pengunjung hanisamin.com.

Akhir kata, salam aidilfitri dari kami sekeluarga. Maaf zahir batin..

Aug 01

Salam Ramadhan…

Assalamualaikum.. 

Alhamdulillah.. akhirnya kita berjumpa juga Ramadhan tahun ni. Harapnya dapat teruskan puasa hingga ke akhirnya. Tiba-tiba teringat seorang sahabat yang tak sempat habiskan Ramadhan dan jumpa Syawal tahun lepas. Semoga ruhnya dicucuri rahmat.

Alhamdulillah, malam tadi dapat mengerjakan solat terawikh di masjid walaupun sedikit kelam-kabut sebab semua orang siap lambat. dah azan isyak masih di rumah, nak ke masjid shah alam yang memang penuh tu pula. oh ya, pagi ahad tu kami buat bacaan tahlil dan doa selamat. cuma adik-beradik saya dan mak ayah sahaja. takde ajak orang luar pun. baca tahlil untuk arwah tok, nenek, moyang dan saudara-mara.

jadi, malam tu dengan 2 orang anak buah dan muadz lagilah kelam-kabut. seorang anak buah lelaki dan selamat ikut pak teh dia. so oklah. kami pergi 2 kereta sebab tak muat satu kereta. nak cari parking punyalah penuh. tapi yang sedihnya biasanya fenomena ni berlaku awal2 puasa aje. lepas seminggu saff pun makin kurang. 10 malam terakhir lagilah kurang sebab semua dah sibuk persiapan raya. Sedangkan 10 malam terakhir tu lah kita nak all-out beridadat yang paling terbaik sekali sebab Allah janjikan Lailatul Qadar. Tapi orang lebih suka memikirkan lailatul cadar, langsir, kuih muih dan lain-lain. huhuhu. Kalau nak beli baik beli awal-awal. Oh ye, kakak ipar saya ada jual cadar. Boleh tengok di FB dia di sini. kakak saya pula ada jual kurma di sini. hehe. adik beradik business. tongue

Continue reading

Jul 15

Kisah Sedih Pasangan Norma dan Talib

Assalamualaikum…

hari ni terpanggil untuk berkongsi kisah sedih sambil saling sama2 mendoakan buat insan2 ini. Saya copy entry ini dari Kasih Aleeya. Kisah tentang Pasangan Norma dan Talib yang ditulis oleh Moon tentang adik iparnya. Update terbaru ada di blog Moon.

—-

Adik ipar Moon menderita menghidap cancer… memula aku dapat tau.. aku pon macam terkejut jugak.. sebab adik ipar moon nie baru jugak kahwin.. lepas tu mengandung.. dan Alhamdulilah selamat melahirkan bayi lelaki yang comel dan sihat.. kita panggil je dia Norma ye.. so, selepas Norma melahirkan anak pertama dia tetiba jatuh sakit.. aku ingat lagi masa tu Moon kata ingatkan penyakit misteri.. siapa tak sedih? orang lain selepas melahirkan anak, gembira menyambut kehadiran orang baru.. lagi-lagi anak pertama.. buat yang ada pengalaman manisnya memeluk anak pertama mesti faham bahagianya rasa tu..

tapi Norma tidak menerima nasib sebegitu.. selepas je bersalin Norma stay di rumah Moon.. nasib ada kakak ipar dan abang ipar yang penyayang, prihatin dan mengambil berat.. Moon lah yang menguruskan anak Norma yang bernama Rafiq.  bila pegi hospital, buat check up semua.. barulah tau yang Norma sebenarnya menghidap cancer.. sebak mengenangkan nasib Rafiq yang baru lahir tapi tak sempat merasa belaian seorang ibu.. tak sempat merasa susu ibu.. ok aku sebak. hmmmmm..
Suami Norma, Talib ke hulu ke hilir menguruskan isteri yang terlantar sakit.. aku tak boleh bayangkan bila Moon selalu datang melawat Norma sambil bawak Rafiq… Norma hanya mampu pandang tak mampu membelai bayi kecil itu.. tabahnya Talib suami Norma.. hanya Tuhan yang tau apa ada di hati Talib.. apa ada di hati Norma saat melihat Rafiq..
Mar 02

susu merudum…

Assalamualaikum…

Hari ni saja nak membebel + meluahkan perasaan. Lately ni kerja sangat banyak di office, maka jadual mengepam pun tunggang-langgang ditambah pula dengan tension pasal kerja dan kesihatan yang kurang memberansangkan, maka production pun menurun dan makin menurun. uwaaaa….. sedih… crying

Muadz baru 10 bulan. tak masuk setahun pun lagi. oh, tidak… crying bila makin sedih dan down makan makinla kurang. huhuhu. dah cuba to be positif, tapi kadang2 dalam kepala banyak je benda yang berpusing-pusing.

jadual makan pun tunggang-langgang sekarang ni. pagi biasa makan roti je. tak sempat nak membeli. sekejap je dah lapar. tengah hari kalau tak sempat pun beli roti juga lagi. kalau rehat lambat, kawan-kawan lain pun akan rehat lambat. kesian la pulak orang lain takleh nak rehat. makanya bila makan tunggang-langgang, macam mana la badan nak sihat. dah la sekarang ni asyik cepat lapar.

masa ni terasa cam nak berenti je kerja. tapi project back-up tak siap lagi. bila project back-up dah siap dan konsisten baru boleh berhenti kerja. tapi masa bila nak buat projectnya bila asyik busy. huuuuu.. stress..stress..

ok..ok.. bertenang.. istighfar banyak-banyak sket. Astaghfirullah. mungkin ini tarbiyah dan ujian Allah. nak tengok ketahanan diri ini. Ya Allah, berkatilah masa kami. pandulah kami menggunakan masa yang diberikan dengan penuh manfaat dan keberkatan. Amiin…

Jan 14

Surah al-Insyirah buat penenang

Assalamualaikum….

Sekarang ni ramai betul orang yang tak sihat. Kami sekeluarga sendiri mengalami batuk-batuk. Di pejabat pun ramai yang batuk dan selsema.

Jumaat lepas Muadz satu hari menangis di Taska sampai pihak Taska tak tahu nak buat apa. Muadz demam dan batuk, jadi mungkin dia rasa tak selesa. Dia tak mahu minum, makan dan juga tidur. Asyik merengek sahaja. Jadi, saya terpaksa balik awal untuk ambil dia.

Setiap kali lepas batuk dia akan menangis, kesian sangat. Saya tepuk-tepuk di belakang badannya untuk melonggarkan kahak-kahak dalam dada. Ini yang diajar oleh seorang doktor kepada kami. Lekukkan tangan bentuk C dan tepuk belakang badan bayi. Kadang-kala dia akan muntah dan keluarkan kahak yang tersekat. Bila muntah biasanya bayi akan lega sedikit.

Sabtu ahad yang lepas memang mencabar. Muadz asyik merengek sepanjang hari dan tak mahu dengan orang lain. Seorang sahabat memberi tips supaya membacakan surah al-Insyirah. Alhamdulillah, bukan sahaja menenangkan bayi tetapi juga orang yang menjaganya.

Walau bagaimanapun, ayat al-Quran ni bukanlah tangkal atau jampi, ia
perlu difahami maksudnya supaya lebih terkesan di hati. Jadi, mari kita
lihat maksud surah al-Insyirah.

1. (Wahai Muhammad) bukankah Kami telah lapangkan dadamu?
2. Dan Kami telah ringankan bebananmu.
3. Yang telah memberatkan belakangmu.
4. Dan Kami telah angkatkan namamu (di dunia dan di Akhirat).
5. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan.
6. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan.
7. Oleh itu apabila engkau telah selesai dari kegiatan-kegiatan hidupmu,
maka usahakanlah kegiatan yang lain pula.
8. Dan kepada Tuhanmu tumpukan perhatian dan minatmu.

Saya dukung Muadz, tepuk belakangnya sambil bisikkan surah ini ke
telinganya. Sambil baca, teringat ujian yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang lebih berat lagi. Sedangkan saya cuma diuji sedikit sahaja. Bila sampai ayat 5 & 6, saya berhenti sekejap, tarik nafas dan berdoa semoga saya diberi kekuatan menghadapi ujian ini. Bila Muadz tak mahu berhenti menangis saya ulang-ulang surah ini sambil berdoa.

Alhamdulillah, hati saya cukup tenang. Hilang rasa nak marah dengan kerenah anak. Hilang rasa risau melihat anak yang tak tenang. Muadz sendiri seperti faham perasaan ibunya dan terlentok manja.

Saya juga amalkan sentiasa beri pesanan sambil usap kepala bayi. Tak kira semasa menyusu, bermain atau tidur. Ahad malam saya bisikkan padanya bahawa esok dia akan ke taska, ummi terpaksa kerja. Please be a good boy. Esoknya 2-3 kali saya telefon taska kerana risau. Tetapi Alhamdulillah walaupun masih belum baik sepenuhnya, Muadz mahu minum susu. Semalam, Muadz bertambah baik & ceria. Dah boleh senyum dan bermain.
Syukur.

Harap tips ini boleh membantu ibu-ibu lain juga. Yang penting kebergantungan kepada Allah ya.