Panduan susu ibu perahan untuk pengasuh

Assalamualaikum…

Untuk ibu-ibu bekerja, selepas habis tempoh berpantang tentu ada rasa berat hati nak tinggalkan anak di taska atau dengan pengasuh kan? Lagi pula sekarang ni macam-macam isu yang keluar : bayi tersedak susu, bayi didera dan sebagainya. Sebaiknya sebelum mula bekerja, cuba hantar ke taska/pengasuh untuk separuh hari dan sepenuh hari untuk lihat keserasian anak. Dalam tempoh tersebut juga, jika ada apa-apa ibu boleh terus ke taska/rumah pengasuh untuk tengok anak.

Untuk bayi yang minum sepenuhnya susu ibu, tentu rasa risau juga sama ada pengasuh dapat kendalikan susu ibu dengan baik. Yelah, kita dah penat-penat pam tiba-tiba disebabkan pengendalian yang tak betul, anak tak dapat khasiat yang sepatutnya, mesti stress kan. Kebanyakan tempat bila ditanya ‘pandai kendalikan susu ibu?’ biasanya akan jawab ya. Tapi saya pernah bertanya beberapa soalan rupa-rupanya cara kendaliannya kurang tepat, contohnya susu yang tak habis dipanaskan berkali-kali.

Jadi, untuk kali ni walaupun pihak taska kata tahu cara kendalikan, saya bagi juga panduan kendalian susu ibu untuk mereka. Mana tahu ada point yang mereka tak tahu atau mungkin terlupa dan boleh refresh semula. Saya sendiri pun banyak membaca semula tentang penyusuan susu ibu setiap kali selepas kelahiran bayi.

Oh ya, untuk mudahkan pengasuh, cairkan susu siap-siap dan letak dalam botol. Jadi mudah untuk pengasuh panaskan sahaja botol tersebut. Saya juga letak nombor untuk memudahkan sebab biasanya susu pertama dan terakhir saya bagi susu fresh (bukan susu sejuk beku). Susu pertama supaya bayi dapat nutrisi yang baik di pagi-pagi hari. Susu terakhir supaya, jika tak habis boleh dibawa ke keesokan hari.

Saya kongsikan apa yang saya berikan pada pengasuh ya. Di bawah nanti saya akan berikan link file bentuk dokumen jika ada yang berminat nak download, print dan beri juga kepada pengasuh. Kalau ada yang saya terlupa, boleh komen untuk saya tambah ya. Ini pun saya ada edit sedikit dari yang saya bagi pada pengasuh hari tu.

Panduan susu ibu perahan untuk pengasuh

Pengendalian susu ibu

  1. Susu yang dikeluarkan dari tempat beku dan sudah dicairkan tidak boleh dibekukan semula dan hanya boleh digunakan dalam masa 24 jam.
  2. Panaskan susu cair dengan air panas sehingga ke susu bilik. Jangan gunakan air mendidih.
  3. Susu yang telah dipanaskan mesti dihabiskan dalam masa satu jam.
  4. Susu perahan tidak boleh digoncang dengan kuat melainkan hanya digoyangkan secara perlahan bagi mengekalkan nutrien di dalamnya.
  5. Adalah normal jika susu yang disimpan akan terbentuk seperti dua lapisan dan ia bukannya basi.

Pemberian susu ibu kepada bayi

  • Elakkan terus memberikan susu ibu perahan ketika bayi menangis. bayi mungkin hanya memerlukan perhatian pengasuhnya.
  • Lihat tanda-tanda bayi mahukan susu seperti kelihatan resah, keluar lidah dan mula menghisap jarinya. Berikannya susu ibu perahan berdasarkan tanda-tanda tersebut dan bukannya mengikut jadual. Jangan tunggu sehingga bayi menangis.
  • Berikan bayi minum secara menegak dan kepalanya diampu supaya kepala berada di kedudukan lebih tinggi.
  • Jangan tolak puting ke dalam mulut bayi tetapi biarkan bayi memasukkannya sendiri ke dalam mulutnya.
  • Biarkan bayi berhenti minum dan rehat pada setiap penyusuan. Ini boleh mengelakkan bayi minum terlalu laju.
  • Bayi yang akan menentukan bila dia patut berhenti minum. Jangan paksa dia habiskan kesemua susu yang ada dalam botol.
  • Bayi tak perlukan air masak. Cukup dengan susu ibu sahaja.
  • Pada waktu peralihan bulan (growth spurt) seperti usia bayi 3 bulan dan 6 bulan,lebih banyak Susu ibu diperlukan bagi membantu pengasuh mengawal keadaan bayi yang mungkin kerap meragam.

Boleh klik di sini untuk download file. Semoga bermanfaat untuk anda semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *